Salam.
Agak lama juga aku tidak menjenguk ke sini. Terlalu banyak perkara dan kerja yang perlu diselesaikan dan aku sangat tidak sempat untuk menulis di sini. Banyak perkara yang telah berlaku sepanjang 2 minggu ini dan serasanya aku tak mampu untuk menceritakan segalanya. Tapi, seperti biasa, aku telah mempelajari sesuatu dalam tempoh 2minggu ini. Belajar untuk meminta maaf dan memaafkan.
Ramai antara kita yang mudah untuk terasa hati dan tersentuh seandainya ada orang lain yang menyinggung perasaan mereka. Kita akan cepat terasa, sedih, berkecil hati dan mula menjarakkan dari orang yang telah membuatkan kita merasa sebegitu. Itu adalah sesuatu yang normal, semua manusia pasti akan merasakan perasaan sebegitu. Namun, tanpa kita sedari, kita telah terlalu lama menjarakkan diri dan menyimpan rasa sedih dan kecil hati itu sehingga kadang kala ia bertukar menjadi dendam. Dan, apabila dendam menguasai hati, kita sekaligus telah menjadi seseorang yang lain. Bukankah lebih baik jika kita memaafkan? Bukankah beban di hati akan berkurangan jika kita memaafkan? Bukankah kita juga akan rasa lebih tenang jika kita memaafkan?
Entahlah. Aku bukan orang yang sempurna, dan aku jua pernah menjadi orang yang penuh dengan dendam suatu ketika dulu. Aku tak mudah untuk meminta maaf dan memaafkan orang lain, dan serasanya aku sangat mudah terasa hati dengan sesiapa jua. Namun, itu kisah lama. Aku telah belajar dan menerima pelajaran yang berguna tentang memaafkan dan meminta maaf. Sejujurnya, aku tak ingin kembali untuk menjadi orang yang penuh dengan rasa marah dan dendam itu. Dan, aku jua berharap agar sesiapa jua yang sedang membaca coretan ini akan berfikir sejenak dan belajar untuk memaafkan. Aku pernah terasa hati sehingga menangis, tapi, aku tak lagi berdendam dan marah pada orang yang telah membuatkan aku menangis itu. Dia juga manusia biasa, dan aku pun begitu. Tiada ruginya kita untuk memaafkan orang lain dan tiada salahnya juga kita untuk meminta maaf. Sekurangnya, rasa terbuku di hati akan berkurangan.
Belajarlah dan renungkan sejenak. Adakah kita telah memaafkan sesiapa pada hari ini? Dan, belajarlah untuk membuatkan orang lain tersenyum dan gembira kerana kita pada setiap hari. Aku telah mempelajarinya dan serasanya aku lebih menikmati kehidupanku pada setiap hari..
No comments:
Post a Comment