Thursday, September 23, 2010

Kisah ini..

Salam. Lama benar tidak mencoret di sini. Kesibukan yg bertandang kadangkala trlalu mmbataskan diriku untuk terus berada lama di ruangan ini. Apepun, hari ini aku brkesempatan untuk mletakkan ssuatu di sini. Hasil karyaku yg prtama, walaupun masih dlm pmbikinan, tp, rsnya aku ingin brkongsinya di sini..Ini kisahnya..LAYAR..

BAB 1





“Kamil!”. Tiba-tiba suatu suara halus kedengaran dari muka pintu kelas. Seorang budak perempuan yang agak tembam berdiri bercekak pinggang sambil matanya melilau mencari nama tersebut.
“Kamil!”. Jerit Husna sekali lagi apabila melihat kelibat seorang budak lelaki kurus yang terhendap-hendap di sebalik kerusi kayu. Budak lelaki bernama Kamil itu tersengih-sengih tatkala mengetahui kelakuannya telah disedari oleh Husna.  
“Mana kau letak buku aku?” sergah Husna yang masih bercekak pinggang  kala kakinya mula menapak ke arah budak tersebut. Matanya membulat merenung Kamil yang masih selamba bersembunyi di sebalik kerusi kayu itu. Husna sedar yang saiz badan Kamil hanyalah separuh dari saiznya yang agak tembam. Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu saja dia mengheret Kamil keluar dari tempat ‘persembunyiannya’ itu.
“Buku apa ni Husna? Tiba-tiba saja datang, dah marah-marah aku. Aku bukan tahu apa-apa pun,” dengan bersahaja Kamil menjawab sambil tersenyum.
Geram benar Husna melihat gelagat Kamil. Dia tahu dia perlu bersabar dengan Kamil. Budak lelaki berusia 12 tahun yang belajar bersebelahan dengan kelasnya itu memang terkenal dengan sikap panjang tangan. Husna yakin bahawa bukunya telah diambil, atau lebih tepat lagi, dicuri oleh Kamil.
“Aku tahu kau yang ambil buku aku kan? Kau nampak aku tulis buku itu semalam, bila kau mintak, aku tak bagi, jadi kau curi kan? Baik kau mengaku saja Kamil,” Husna mengetap bibirnya, cuba menahan perasaan yang membuak.
“Aku mana ambil buku kau. Lagipun buat apa aku ambil buku yang berbalut kertas bunga-bunga, warna pink macam tu, tak kuasa aku tau..” Kamil mula ketawa berdekah-dekah. Ketawanya disambut dengan ketawa beberapa orang lagi budak lelaki yang turut berada dalam kelas itu. Riuh rendah bunyi Kelas 6 Seroja dengan suara mereka.
“Husna, aku rasa tak ada guna kau tanya si Kamil tu. Sampai sudah pun dia takkan mengaku yang dia curi buku kau,” separuh berbisik Najah berkata sambil menyiku lengan Husna. Sedari tadi, Najah hanya berdiri di belakang Husna, cuba menenangkan sahabatnya itu. Najah yang kecil molek memegang tangan Husna, bimbang kalau-kalau sahabatnya cuba melakukan sesuatu di luar jangkaan.  
“Aku tak peduli Najah. Dia boleh curi barang orang lain, tapi bukan barang aku. Aku akan dapatkan balik buku aku, tak kiralah kalau aku kena bertumbuk pun dengan si Kamil ni!” suara Husna sudah mula bergetar. Kamil dan kawan-kawannya yang asyik ketawa dari tadi terdiam tiba-tiba. Kamil kenal benar dengan Husna, dia tahu yang Husna tak pernah main-main dengan apa yang diucapkannya. Dia menelan liur, cuba membayangkan bagaimana keadaannya kalau Husna benar-benar mahu menumbuknya. Melihatkan saiz Husna sahaja sudah cukup membuatkan hatinya gerun.
“Husna, kau biar betul? Takkan kau nak bertumbuk dengan budak lelaki pulak?” Najah yang separuh kaget mendengar kata-kata tersebut memandang wajah Husna yang merah padam menahan marah. Najah yang kelihatan takut-takut menarik tangan Husna walaupun dia sedar yang tiada apa yang boleh dilakukannya bagi menghalang Husna tika ini.
“Aku..aku tak ambil buku kau lah Husna,” tergagap-gagap Kamil menyusun kata dengan harapan Husna akan menarik balik kata-katanya sebentar tadi. Sejujurnya Kamil sebenarnya menipu Husna. Dia memang mengambil buku Husna, tapi, buku itu telah dikembalikannya ke atas meja Husna awal pagi tadi.
‘Macam mana pulak buku itu boleh hilang. Aku kan dah pulangkan balik pagi tadi, patutnya buku tu dah ada atas meja Husna,’ desis hati kecilnya.
Husna yang dari tadi cuba menahan marah, sedikit kendur apabila mendengar kata-kata Kamil. Matanya mula bergenang, geram, marah, sedih, segalanya bercampur menjadi satu. Perasaannya bercampur baur.
“Kamil, aku rasa baik kau jujur saja dengan aku. Aku takkan tumbuk kau lah. Kau ambil buku aku ke tak?” nada suara Husna mula rendah. Dia menarik salah sebuah kerusi yang ada di situ dan duduk menghadap Kamil yang masih terkebil-kebil memandangnya. Suasana kelas yang mulanya hingar-bingar bertukar reda buat seketika. Husna mengeluh perlahan. Buku itu amat penting bagi dirinya. Ia bukan sekadar buku, malah ia adalah teman baiknya, tempat dia mengadu segala hal yang berlaku pada dirinya. Husna tahu dia perlu mendapatkan kembali buku tersebut, walau apa jua caranya.
“Kenapa kau diam Kamil? Kau dengar tak apa yang aku tanya tadi?” Husna mengasak lagi dengan pertanyaan. Matanya masih tertancap pada Kamil yang menggaru-garu kepalanya. Serba salah Kamil dibuatnya. Buat seketika, hatinya diburu rasa bersalah. Dia sedar sikapnya yang suka mengambil barang kepunyaan orang menjadikan dia sebagai sasaran paling tepat bagi kejadian ini. Namun, Kamil juga sedar, dia tak akan pernah cuba mencari pasal dengan Husna yang selama ini selalu berbuat baik pada dirinya. Husna tidak pernah memusuhinya, jauh sekali untuk berkata sesuatu yang jelek tentang dirinya walaupun dia tahu tentang sikapnya yang begitu.
“Aku..aku minta maaf Husna. Aku mengaku yang aku memang ambil buku kau semalam. Aku tak buat apa-apa pun pada buku kau, aku cuma nak tengok je..” Kamil menundukkan kepalanya. Husna menarik nafasnya. Dia sudah mengagak yang ini memang kerja Kamil.  
“Tapi..aku dah pulangkan buku kau. Awal pagi tadi, aku dah letak balik atas meja kau. Betul Husna, aku tak tipu, kalau kau tak percaya, kau boleh tanya Timie, dia ada sekali dengan aku pagi tadi,” Kamil menarik lengan Fathimi, meminta sokongan daripada sahabatnya.
“Haa..betul Husna. Betul, aku ada dengan Kamil masa dia pulangkan buku kau pagi tadi. Dia letak atas meja kau. Sumpah Husna, kami tak tipu,” kedua-dua mereka mengangkat tangan, tanda bersungguh dengan apa yang telah mereka katakan.
Husna masih membisu. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Antara percaya dengan tidak, hatinya masih berbelah bahagi. Kalau benar buku itu telah dikembalikan, bagaimana pula dia tidak menjumpainya? Husna benar-benar bingung!
“Aku rasa, mereka cakap benar lah Husna. Aku pun nampak si Kamil letakkan buku tu atas meja kau pagi tadi. Cuma, aku hairan, bila kau datang pagi tadi, buku tu dah tak ada atas meja..Aku ingat Kamil ambil buku tu balik.. ” Kim Wah yang berada di hujung meja mencelah. Anak Uncle Wong, si penjual sayur itu agak pendiam, namun sesekali bersuara, bernas butirnya.  Kata-katanya membuatkan Husna terpinga-pinga. Jadi, Kamil tidak berbohong, buku itu memang telah dikembalikan. Husna meraup wajahnya perlahan, cuba menahan titis-titis kecil yang mula mengalir.
“Husna!” Dari kejauhan, kelihatan seorang budak lelaki bercermin mata tebal berlari melintasi kelas mereka. Termengah-mengah Lutfi apabila sampai di hadapan kelas tersebut.
“Husna..aku dah jumpa buku kau!” dengan nafas yang masih turun naik, Lutfi menggoyang-goyangkan buku yang ada di tangannya. Sejurus itu, Husna meluru ke arah sahabatnya.
“Mana kau jumpa ni?” tangan Husna pantas mencapai buku yang ada di tangan Lutfi. Membelek-belek buku tersebut, bimbang kalau-kalau ada bahagian yang hilang atau terkoyak. Lega hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Aku mengemas perpustakaan tadi. Tiba-tiba nampak buku kau ni atas meja belakang, aku ambillah. Aku teringat yang kau bagitau aku pagi tadi yang buku kau hilang..” Lutfi menjelaskan. Dia merupakan ketua pengawas perpustakaan di sekolah mereka. Setiap petang, sebelum pulang dia akan mengemaskan buku-buku yang telah digunakan dan menulis laporan aktiviti pada hari berkenaan.
“Camne pulak buku kau boleh sampai ke library?” Najah menghulurkan sedikit kepalanya dari pintu kelas. Pertanyaan Najah menjadikan Husna bingung. Kalau Kamil telah meletakkan buku itu di atas mejanya pagi tadi, maknanya ada kemungkinan orang lain yang telah mengambil buku itu kembali!
‘Siapa yang ambil buku aku ni? Pelik, kenapa dia letakkan buku ni di perpustakaan pulak? Agaknya sebab dia ingat aku pengawas perpustakaan, sebab tu dia hantar kat sana kot..’ Husna membuat telahan. Siapa jua orangnya, Husna tak kisah. Yang penting, bukunya sudah dikembalikan. Dan, Husna memeluk bukunya erat sambil tersenyum.

Akan brsambung..~