BAB 2
“Lambat Rayhan balik hari ni?” Uminya muncul dari dapur sambil mendukung adik bongsunya. Puan Khadijah baru selesai memandikan anak perempuannya. Dia keluar apabila mendengar suara memberi salam sebentar tadi. Rayhan menghulurkan tangan, cuba mencapai adik perempuannya yang berusia hampir setahun itu. Yasmin yang masih berbalut tuala itu mengekek ketawa tatkala diagah oleh abang sulungnya. Rayhan tersengih, tak sabar rasanya dia ingin mencium adiknya yang comel itu.
“Haa...tak payah adik. Abang bucuk, abang tak mandi lagi, tak boleh main ngan adik. Udah, pergi mandi Rayhan, badan kamu dah macam bau kerbau dah..” suruh Puan Khadijah. Kalau dibiarkan lebih lama, lagi liat Rayhan mahu mandi.
“Alah Umi, bagilah orang dukung adik kejap..orang dah rindu kat budak tembam nih..” Rayhan mencubit pipi Yasmin yang bulat. Penat badannya tadi tiba-tiba hilang apabila melihat wajah Yasmin. Itulah satu-satu adik perempuannya, dan kerana itu, Yasmin sering menjadi buah hati di kalangan adik-beradiknya yang seramai 4 orang itu.
“Dah..dah, pergi mandi Rayhan. Kejap lagi dah nak Maghrib. Kamu solat Asar tak petang tadi?” Puan Khadijah sangat mengerti sikap anak sulungnya itu. Rayhan kalau sudah asyik dengan bola sepak, lupa segalanya.
“Orang dah solat kat surau sekolah petang tadi. Alah Umi, orang tahulah. Orang takkan nak tinggalkan solat lagi..” Rayhan menjawab sambil mengusap-usap rambut Yasmin yang masih basah. Lega hati Puan Khadijah mendengar jawapan Rayhan. Setidaknya dia tahu, anaknya sudah mampu berfikir. Rayhan bukanlah anak yang sukar dibentuk, walaupun kadangkala agak manja dan degil.
“Ok adik. Abang nak mandi dulu. Nanti malam ni kita main puas-puas ya,” pantas tangan Rayhan menarik hidung Yasmin. Seolah faham dengan kata-kata abangnya, Yasmin ketawa mengekek.
Usai solat Maghrib, Rayhan berbaring di atas katil. Sebentar tadi, Uminya sudah memanggil untuk makan malam, tapi, katanya dia masih belum begitu lapar. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu, lalu bingkas bangun. Beg sekolahnya dibuka dan dia mengeluarkan sebuah buku nota kecil. Rayhan menarik kerusi dan meletakkan buku itu di atas meja tulisnya. Dia teringatkan peristiwa semalam. Rayhan sedar, dia telah melakukan kesilapan. Dan, sepatutnya dirinyalah yang dipersalahkan. Namun, entah mengapa, semalam Rayhan benar-benar menjadi seorang yang pengecut. Sebelum ini, dia tidak pernah gusar untuk mengaku setiap kesalahan yang pernah dilakukannya, walaupun di hadapan ayahnya sendiri.
‘Aku tak patut buat macam tu. Tapi, macam mana aku nak minta maaf dengan dia? Aku tak pernah pun cakap dengan dia..’ Rayhan buntu. Rasa bersalah mula menyelinap ke dalam hatinya.
Sudah lebih 6 bulan Rayhan berpindah ke kampung tersebut. Malah, dia juga sempat mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah di sekolah barunya. Mulanya Rayhan sedikit memberontak tatkala ayahnya yang bertugas sebagai seorang pegawai polis memaklumkan bahawa mereka akan berpindah sekali lagi. Rayhan tidak ingin berpisah dengan teman-teman di tempat lamanya, namun, dia akur. Ternyata Rayhan betah berada di kampung itu. Teman-teman baru yang mesra, malah suasananya juga cukup membuatkan Rayhan merasakan dirinya diterima di situ. Rayhan masih membelek helaian buku notanya. Dia merenung pada satu catatan yang ditulisnya petang semalam.
‘Kenapa aku ambil buku dia ya?’. Serasanya Rayhan masih belum mengerti dengan tindakan dirinya sendiri. Dia bukan sahaja telah mencuri, malah telah menceroboh hak peribadi orang lain. ‘Bodohlah aku..buat apa aku baca diari dia..’. Rayhan mengutuk dirinya sendiri. Rayhan kembali berbaring di atas katil. Memejamkan mata dan cuba mengingati kembali tindakannya kala itu.
Rayhan tiba awal di sekolah pada pagi tersebut. Selesai membersihkan kelas, dia merayau ke kelas sebelah untuk mencari Fathimi. Tujuannya adalah untuk memaklumkan tentang perlawanan bola sepak yang akan diadakan pada petang itu. Namun, lain yang dicarinya, lain pula yang ditemui. Sewaktu melintasi sebuah kerusi berhampiran dengan meja Fathimi, kakinya tersadung dan sebuah buku terjatuh dari meja berhampiran. Buku itu dikutipnya, dan dibeleknya perlahan. Entah kenapa, tangannya pantas membuka helaian demi helaian pada buku tersebut. Tertarik benar Rayhan apabila melihat nama pada buku tersebut. Lupa sebentar pada niat asalnya untuk bertemu dengan Fathimi.
‘Layar? Buku apa ni?’. Tangannya mula merayap pada setiap helaian dan matanya menangkap pada satu baris kata-kata yang ditulis pada helaian kedua buku tersebut.
‘Kata abah, hidup ini umpama sebuah kapal yang sedang belayar. Kita adalah nakhodanya, dan kita jugalah yang akan menentukan arah tujunya. Mungkin kita akan dilambung ombak, mungkin kita akan berhadapan dengan musuh, tapi, itu tidak akan mematahkan semangat kita untuk meneruskan pelayaran ini..’
Menarik, fikir Rayhan. Siapakah gerangan pemilik buku yang bernama ‘Layar’ ini? Hatinya mula tertanya. Tanpa disedari, Rayhan masih memegang erat buku tersebut tatkala kakinya melangkah keluar dari kelas. Masih khusyuk membaca setiap baris di dalamnya tanpa dia sedari bahawa dia sebenarnya sedang membaca sebuah diari!
Rayhan masih buntu. Dia masih memikirkan tindakannya yang tidak berterus-terang tentang perkara yang sebenar. ‘Mungkin aku patut minta maaf dengan dia..Tapi, aku tak pernah cakap pun dengan dia..aduh..’ Rayhan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri hairan, kenapa dia perlu terus menerus memikirkan perkara itu, sedangkan buku tersebut sudah pun selamat dipulangkan kembali kepada tuannya. Kenapa dia harus terus berfikir tentangnya? Mungkin kerana rasa bersalah yang bersarang membuatkan Rayhan ingin bertemu sendiri dengan pemilik buku tersebut.
Sejujurnya, Rayhan ingin mengenali si pemilik buku tersebut. Ingin mengenali penulis setiap bicara pada buku tersebut. Namun, separuh dari hatinya terlalu takut untuk bertemu mata dengan orang tersebut. Rayhan bimbang, takut andainya orang itu akan menuduh dia yang sebaliknya. Memang dia bersalah dalam hal tersebut, tapi, itu adalah perkara yang dia sendiri tidak sengajakan.
Rayhan sudah duduk di birai katilnya. Cuba berfikir kembali. Dia teringat pesanan Uminya yang selalu tenang. Umi selalu menitipkan pesanan agar dia menjadi seorang manusia bertanggungjawab atas setiap tindakan yang dilakukannya.
‘Betul cakap Umi..aku patut bertanggungjawab atas hal ini..’ Rayhan sudah nekad. Apa pun caranya, dia harus berterus terang kepada pemilik buku tersebut. Rayhan kembali pada meja tulisnya. Mencapai buku nota tersebut dan menatap kembali pada apa yang telah dicatatnya. Rayhan telah menulis nama beserta alamat pemilik buku tersebut, sebelum meletakkannya di perpustakaan sekolah mereka. Dia sedar, tindakannya umpama melempar batu sembunyi tangan, dan sekarang dia harus membetulkan kesilapan tersebut. Ya, dia akan menemui tuan punya buku itu. Dia akan bersemuka dan paling penting dia harus meminta maaf kerana telah membacanya tanpa kebenaran!
~ Akan bersambung...=)..~
No comments:
Post a Comment