Saturday, October 16, 2010

Layar: Bab 3

BAB 3
Cikgu Hamzah membuka topi keledarnya, lalu mencapai satu beg plastik yang terdapat dalam bakul motorsikalnya.
“Assalamualaikum..” Dia memberi salam lantas menaiki tangga rumah kayu tersebut. Cikgu Hamzah duduk di beranda rumahnya untuk melepaskan lelah. Selesai solat Asar petang Sabtu itu, Cikgu Hamzah menghabiskan masanya di kebun pisang miliknya di hujung kampung tersebut. Itu sahaja hari yang lapang bagi dirinya, selepas satu minggu berhempas pulas mendidik anak bangsa. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk melakukan perkara yang digemarinya iaitu berkebun.
“Ish..mana semua orang ni? Salam pun tak berjawab nih..”. Kebiasaannya, waktu petang begitu isterinya akan menyapu dan membersihkan daun-daun di sekitar laman rumah mereka. Sedari tadi, Cikgu Hamzah lihat rumahnya agak sunyi walaupun pintu rumahnya terbuka luas.
“Eh..abang dah balik..saya kat belakang tadi, tak sedar abang dah balik..” Cikgu Saadah muncul menatang dulang air kopi dan sepiring kuih. Dihulurkan secawan buat si suami dan meletakkan piring kuih berhampiran sisi cawan tersebut.
“Mak Ton datang tadi. Rancak pulak kami berbual. Ini, dia bawakkan kuih cik mek molek ni untuk kita. Ingat pulak orang tua tu yang abang suka makan kuih ni..” Cikgu Saadah mula bercerita. Dia memerhatikan sahaja Cikgu Hamzah menyuap kuih tersebut dengan berselera. Tersenyum sendiri dia melihat gelagat suaminya.
“Pandai Mak Ton buat, kena betul dengan selera saya..hihi..Eh, awak tak makan ke? Ni kalau awak biarkan, mahu habis sepiring saya makan ni..” Cikgu Hamzah mula mengusik isterinya.
“Alah..makan jelah bang..Saya dah kenyang tengok abang makan.” Cikgu Saadah menjawab lembut. Ditatap mata si suami penuh kasih sayang. Cikgu Hamzah tersengih. Sudah lebih 15 tahun tahun mereka melayari bahtera bersama, dan isterinya masih sama seperti yang dikenalinya kali pertama dahulu. Lembut dan penuh pengertian.
“Aik..? Tengok saya makan pun dah kenyang? Cikgu Saadah, apa hal awak romantik benar dengan saya petang-petang gini?” Cikgu Hamzah masih terus menerus mengusik.
“Cikgu Hamzah sayang, apa salahnya kalau romantik waktu petang? Bukan ke abang selalu cakap, kasih dan sayang itu tak mengira batasan waktu? Masakan abang dah lupa?” Cikgu Saadah pantas membalas usikan itu.
Cikgu Saadah masih ingat kali pertama dia bertemu dengan suaminya itu. Ayat suaminya itulah yang sering membuatkan hatinya lembut.  Mereka bersekolah menengah bersama-sama, namun, tidak pernah saling mengenali sehinggalah mereka bertemu kembali ketika ditugaskan mengajar di sekolah yang sama. Mengenali lelaki itu benar-benar mencabar dirinya, lelaki itu tak pernah kenal erti mengalah walaupun Cikgu Saadah sedar bahawa hubungan mereka terlalu rapuh. Kalaulah masa boleh diputarkan kembali, Cikgu Saadah tidak ingin melalui saat-saat getir itu sekali lagi.
Cikgu Hamzah berhenti menyuap.“Mana mungkin saya lupa Cikgu Saadah..Cuma, sesekali bila ayat tu keluar dari mulut awak, lain pulak rasanya..rasa macam hangat saja hati saya ni..” Cikgu Hamzah melekapkan tangannya ke dada sambil melirik manja ke arah Cikgu Saadah. Mereka akhirnya berbalas senyuman.
“Abah..! Ibu.!” Dari kejauhan kelihatan seorang gadis muda berlari sambil melambai-lambaikan tangannya, lantas membuka pintu pagar. Dia membuka kasut sukan, lalu mula menaiki tangga sepantas mungkin. Cikgu Hamzah tersengih panjang tatkala melihat Husna.
“Masya Allah budak ni..bagilah salam dulu. Ini main terjah saja..” Cikgu Saadah menggelengkan kepala sebaik sahaja Husna sampai ke muka pintu. Cikgu Hamzah tergelak kecil melihat kaki seluar anaknya yang dipenuhi dengan kemuncup. Anaknya itu pasti pulang melalui kawasan perkuburan, kerana itulah jalan pintas untuk cepat sampai ke rumah mereka.
“Assalamualaikum abah, ibu..” Husna menyalami kedua-dua orang tuanya. Tidak sabar rasanya dia ingin memberitahu abah dan ibu tentang berita gembira yang baru diterimanya. Kerana itulah, dia hampir terlupa sebentar untuk memberi salam sebaik tiba di rumah tadi.
 “Husna balik ikut jalan kubur ke tadi?” Cikgu Hamzah meletakkan beg sandang Husna di sebelahnya. Lama dia memerhatikan beg tersebut. Beg yang sudah tidak berfungsi zipnya dan talinya juga sudah hampir koyak kerana terlalu kerap digunakan. Bukan Cikgu Hamzah tidak mampu untuk membelikan beg baru untuk anaknya itu, bahkan sudah beberapa kali dia menegur Husna untuk menukarnya kerana keadaan beg itu yang sudah terlalu daif bagi dirinya. Namun, setiap kali itu jugalah Husna menolak dengan alasan yang serupa. Katanya, dia sayang pada beg itu dan tidak sanggup untuk menukarnya kerana itu adalah hadiah dari abah sewaktu dia di Tahun 4. Hadiah kerana Husna berjaya menjuarai pertandingan bersajak peringkat daerah. Cikgu Hamzah faham benar akan sikap anaknya yang seorang ini, kalau itu mahunya, tiada siapa yang mampu menghalang.
“Husna lalu jalan tu tadi abah, sebab nak cepat sampai kat rumah..hihihi..” tersengih Husna sambil duduk bersila berhampiran abahnya. Pantas tangannya mula mencabut kemuncup yang melekat di kaki seluarnya. Cikgu Saadah mengeluh kecil mengenangkan telatah si anak berusia 12 tahun itu. Kadangkala lagaknya mengalahkan budak lelaki, namun, amat manja sekali, terutama dengan abahnya.
“Emm..Husna balik cepat pun sebab ada berita gembira nak beritahu abah dengan ibu tau..”. Husna berkata riang sambil menatap wajah ibu dan abahnya satu persatu. Tangannya masih memegang kaki seluar. Cikgu Hamzah dan Cikgu Saadah saling berpandangan, agak kehairanan dengan kata-kata Husna.
“Berita apa?”, serentak itu pertanyaan mereka berdua sehingga mengundang tawa Husna. Dan, akhirnya mereka bertiga tertawa bersama.
“Eh..kejap..ini plastik apa abah?”. Ketawanya terhenti sekejap apabila Husna terpandang sebuah beg plastik yang berada di tepi tangga. Dia membelek-beleknya lalu tersenyum lebar.
“Allah...abah lupa tadi. Abah beli pisang goreng untuk kita minum petang, tapi, tengok aje kuih cik mek molek ni, abah terus lupa diri kejap..”Cikgu Hamzah mencapai plastik berisi pisang goreng lalu meletakkan isinya ke dalam piring kuih yang telah kosong. Sebiji kuih cik mek molek yang masih berbaki diletakkan dalam piring cawannya. Husna berlari turun ke paip air di bawah rumah untuk mencuci tangan. Sepantas itu jugalah dia kembali dan mencapai sekeping pisang goreng yang menjadi kegemarannya itu.

“Emm...anak dengan abah sama sahaja..Dapat aja makanan kegemaran, terus lupa diri..” Cikgu Saadah menuangkan secawan lagi kopi buat anaknya. Kedua-dua beranak itu cuma tersengih panjang mendengar kata-kata Cikgu Saadah. Bagaimana sikap Cikgu Hamzah, begitu jugalah perangai Husna. Kadangkala, Cikgu Saadah cemburu juga melihat keakraban kedua-dua beranak itu, namun, itu tidak pernah menjadi hal yang besar buat dirinya.
“Haa..sekarang cerita kat abah dengan ibu. Apa berita gembira yang Husna nak beritahu tadi?” Cikgu Hamzah mula bertanya. Husna mengunyah perlahan baki pisang goreng di tangannya lalu menghirup sedikit air kopi.
“Sebenarnya abah, ibu..emm..Husna dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh..” Mata Husna bercahaya gembira. Petang tadi dia ke sekolah kerana terlibat dengan latihan bagi persembahan akhir tahun kelasnya. Guru kelasnya yang turut berada di sekolah waktu itu memaklumkan bahawa tawaran daripada sekolah berasrama penuh itu dibuat berdasarkan keputusan cemerlang yang diperoleh Husna dalam peperiksaan percubaan UPSR serta penglibatannya dalam kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Selain Husna, sahabatnya Najah dan Lutfi turut mendapat tawaran yang serupa. Cikgu Saadah tersenyum dan merapati anak perempuannya.
“Alhamdulillah Husna..ibu pun turut gembira..” Cikgu Saadah mengusap lembut rambut Husna.
“Terima kasih bu, ini semua berkat doa ibu dan abah..”.
“Husna, betul Husna nak masuk sekolah asrama penuh ni?” Cikgu Hamzah yang hanya mendiamkan diri dari tadi tiba-tiba bersuara.

“Abah bukan apa Husna. Abah nak Husna buat keputusan betul-betul. Ini pilihan Husna. Kalau Husna rasa Husna dah sedia nak jalani hidup dan belajar di sekolah berasrama penuh, abah dan ibu tiada halangan. Semuanya terletak di tangan Husna..”. Cikgu Hamzah menatap wajah anaknya penuh makna. Cikgu Saadah yang setia mendengar hanya mengangguk-anggukkan kepala, tanda bersetuju dengan pendapat si suami.
Hati Husna sentiasa sejuk setiap kali abahnya berbicara tentang perkara yang melibatkan anak-anaknya. Abahnya yang tenang dan kuat berjenaka. Walaupun Cikgu Hamzah yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Muar merupakan seorang guru disiplin, namun, dia tidaklah segarang seperti disangka. Setiap kali Husna bersedih atau mempunyai masalah, abahlah orang pertama yang menjadi tempat dia mengadu. Kerana itulah Husna lebih rapat dengan abahnya berbanding Cikgu Saadah.
“Husna sebenarnya masih belum pasti abah..lagipun, keputusan UPSR hanya akan keluar minggu depan. Sehingga keputusan keluar, Husna rasanya masih belum layak untuk terima tawaran tu. Dibuatnya nanti keputusan Husna tak baik, macam mana? Semuanya masih belum ada kepastian kan, abah?”. Husna sememangnya agak petah berkata-kata berbanding budak seusia dengannya, mungkin kerana hasil didikan kedua ibu bapa menjadikan dia seorang yang bernas menyuarakan pendapat sendiri.
“Ibu yakin Husna..Insya Allah, Husna akan dapat keputusan yang baik nanti. Doa ibu sentiasa bersama Husna tau..”. Bersungguh Cikgu Saadah meyakinkan Husna.
“Tengok..ibu pun yakin dengan Husna. Takkanlah anak abah ini tak yakin dengan diri sendiri pulak? Husna yang abah kenal, bukan orang macam tu..”. Separuh mengusik Cikgu Hamzah cuba menduga anaknya. Tersengih lebar Husna, lalu tangannya pantas memaut lengan Cikgu Hamzah.
“Husna bukan tak yakinlah abah..Cuma, belum pasti sahaja. Abah dan ibu doakan Husna tau, supaya nanti Husna dapat keputusan yang baik..”. Manja sahaja kedengaran suara Husna. Cikgu Saadah tergelak kecil melihat gelagat Husna yang masih tidak renggang pautannya pada lengan Cikgu Hamzah.
“Emm..kalau kak long dengan abang ngah tahu pasal berita ni, mesti diaorang seronok kan ibu?”. Husna tiba-tiba teringat pada kakak dan abang kembarnya yang berusia 15 tahun itu. Kedua-dua mereka juga belajar di sekolah berasrama penuh di Melaka. Setiap dua atau tiga minggu sekali, mereka akan pulang, namun, pada minggu itu mereka tidak dapat pulang kerana sedang menghadapi peperiksaan PMR. Sudah agak lama juga Husna tidak bertemu dengan Humairah dan Haris, dan rindu pula rasanya dia ingin bertemu dengan mereka berdua.
“Emm..nanti kalau Husna masuk sekolah asrama, siapalah nak temankan ibu sembang setiap malam? Kakak dengan abang pun tak ada. Sekarang Husna pulak..” Cikgu Saadah pura-pura merajuk. Bulat mata Cikgu Hamzah melihat tingkah isterinya yang bersahaja.  
“Alah ibu..tu..abah kan ada..ibu cakaplah puas-puas dengan abah nanti, tak ada siapa akan kacau dah..hihihi..” Husna tersenyum sambil mengenyitkan mata ke arah Cikgu Hamzah. Ketawa besar Cikgu Hamzah mendengarnya. Anak itu semakin lama, semakin pandai berbicara.
“Pandailah Husna ya..” Cikgu Saadah menarik hidung anaknya, geram bercampur lucu apabila anaknya mengucapkan kata-kata sebegitu.
“Makcik.! Pakcik..!” Seorang budak lelaki bertubuh kecil dan memakai seluar pendek kelihatan berdiri di luar pagar rumah Cikgu Hamzah. Di sebelahnya, seorang budak lelaki yang agak tinggi sedang memegang basikal. Budak lelaki itu terjenguk-jenguk dari luar pagar rumah, membiarkan sahaja sahabatnya memanggil tuan rumah.
“Itukan Kim Wah, kan Husna? Apa halnya datang petang-petang macam ni?” Cikgu Saadah cam benar pada anak penjual sayur yang sering menjaja di sekitar kawasan kampung mereka itu. Husna lantas menuruni tangga dan membuka pintu pagar. Hatinya tertanya tujuan Kim Wah datang menemuinya petang itu, ditambah pula dengan kehadiran seseorang yang tidak dikenalinya.
“Kim Wah, masuklah dulu. Apa hal kau datang jumpa aku ni? Aku ada tertinggal barang kat sekolah ke tadi?” Husna mula menebak dengan pelbagai soalan. Kim Wah yang sudah merah mukanya mengesat peluh yang menitis di pipinya.
“Bukanlah Husna..ini, ada orang mahu jumpa kau. Aku suruh dia datang sendiri, tapi, katanya dia malu, nak juga aku temankan..” Kim Wah menarik tangan sahabatnya yang sedari tadi sekadar berdiri di luar pagar. Husna agak kehairanan melihat wajah budak lelaki itu. Serasanya dia pernah melihat budak itu, tapi, seingat Husna, belum pernah sekali pun dia berbicara dengannya. ‘Apa kena dengan budak ni? Aku ada buat salah dengan dia ke? Tiba-tiba saja datang cari aku..’ Desis hati kecil Husna.
“Err..saya..nama saya Rayhan..saya datang ni sebenarnya mahu minta maaf dengan awak..” Rayhan mula bersuara dalam serba salah.
‘Minta maaf? Kenapa harus dia minta maaf? Atau..’. Dan, Husna masih terpempan saat Rayhan menceritakan segala yang telah berlaku. 

No comments: