Monday, October 18, 2010

Layar: Bab 4

BAB 4

Cuti persekolahan hampir tiba dan akhirnya saat yang dinanti muncul juga. Keputusan UPSR telah diumumkan pada hari tersebut. Seperti kebiasaannya, ramai ibu bapa yang menemankan anak-anak mereka untuk mengambil keputusan di sekolah masing-masing. Cikgu Hamzah telah berjanji pada Husna bahawa dia akan datang ke sekolah pada waktu tengah hari bagi sama-sama melihat keputusan anaknya. Cikgu Saadah pula tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu menyertai kursus pada hari yang sama. Pelbagai ragam dan telatah dapat dilihat sebaik sahaja Cikgu Hamzah memasuki perkarangan sekolah rendah tersebut. Ada yang menjerit kegembiraan, tak kurang juga yang agak muram wajahnya.  
“Husna..! Husna..!”. Cikgu Hamzah memanggil apabila melihat kelibat anaknya dalam sekelompok budak perempuan yang berkumpul di hadapan bilik guru. Husna yang memegang kertas slip keputusannya berlari-lari anak ke arah Cikgu Hamzah. Riang benar hatinya saat itu. Hanya doa kesyukuran yang dipanjatkan buat Ilahi kerana telah memakbulkan doanya selama ini. Husna memeluk erat abahnya.
“Alhamdulillah abah..Husna berjaya..”. Diunjukkan kertas keputusan tersebut kepada abahnya. Senyuman lebar terukir di bibir Cikgu Hamzah tatkala melihat kertas itu. Dalam hatinya tidak putus-putus bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang cerdas dan pintar. Bagi seorang bapa sepertinya, hanya itulah hadiah terbaik yang ingin dia peroleh, melihat dan berkongsi kejayaan anak-anak. Setiap hari dia sentiasa berdoa agar anak-anaknya membesar dengan baik dan menjadi insan yang berguna buat untuk agama, bangsa dan masyarakat.  
“Tahniah sayang..abah bangga..”. Cikgu Hamzah mencium dahi anaknya. Itu adalah kebiasaan yang sering dilakukannya setiap kali anak-anaknya beroleh kejayaan dalam sesuatu perkara. Itu jugalah perkara yang Husna sukai tentang abahnya. Meskipun Cikgu Hamzah jarang sekali memberi hadiah buat mereka adik-beradik jika mendapat apa-apa kejayaan dalam pelajaran dan sebagainya, namun, bagi mereka, kasih sayang serta ciuman mesra itu merupakan hadiah yang tak ternilai harganya, dan melebihi segalanya.
“Ibu tengah kursus, kejap lagi abah telefon, beritahu ibu ya..”. Cikgu Hamzah memegang tangan anaknya erat dan mengajaknya duduk di sebuah bangku yang terdapat di kawasan berhampiran taman sekolah. Husna yang masih tersenyum gembira menuruti langkah abahnya.
“Husna, macam mana dengan tawaran sekolah tu? Husna mahu?” Cikgu Hamzah memulakan bicaranya. Dia mahukan yang terbaik buat anak bongsunya itu. Namun, sebagai seorang bapa, dia menghormati apa jua keputusan yang Husna ambil. Jika ibu bapa lain lebih senang menentukan sendiri masa depan anak-anak mereka, tetapi tidak bagi Cikgu Hamzah dan Cikgu Saadah. Pada mereka berdua, anak-anak juga punyai hak untuk menentukan apa yang mereka mahukan, malah mereka juga boleh memberi pendapat sendiri, asalkan ia tidak melampaui batas sebagai seorang anak. Husna diam membisu. Kepalanya masih berfikir-fikir. Dia sebenarnya masih tercari-cari jawapan bagi soalan yang ditanyakan oleh Cikgu Hamzah sebentar tadi. Tapi, rasanya dia sudah punya satu jawapan yang pasti saat itu.
“Husna tak mahulah abah..”. Perlahan sahaja Husna memberitahu. Matanya masih menatap wajah Cikgu Hamzah. Cuba mencari bagaimana reaksi bapanya itu. Namun, Cikgu Hamzah masih tenang-tenang saja. Cikgu Hamzah tahu, pasti ada sebab kenapa Husna berbuat demikian.
“Kenapa? Tak nak berpisah dengan abah dan ibu?”. Cikgu Hamzah cuba mengusik. Husna tersengih mendengar kata-kata abahnya. Sejujurnya, pada Husna, bukan itu alasan utama dia ingin menolak tawaran tersebut. Meskipun dia anak bongsu, dan manja dengan kedua-dua ibu dan abahnya, namun, itu bukan sebabnya.
“Husna nak masuk sekolah biasa sahaja abah..Husna mahu belajar dalam suasana yang biasa sahaja, tanpa ada pengawasan dari sesiapa. Cukuplah kalau abah dan ibu sahaja yang melihat apa yang Husna belajar setiap hari..”. Cikgu Hamzah tersenyum. Husna memang anak yang agak berbeza berbanding kakak dan abangnya. Kadangkala apa yang dibuatnya sukar ditelah oleh mereka. Husna yang degil dan keras hati, namun, sesekali amat sensitif.
“Kalau itu keputusan Husna, abah terima sahaja. Cuma, abah harap, walau di mana pun Husna bersekolah, apa yang penting, Husna kena terus berusaha untuk buat yang terbaik. Belajar di mana-mana pun sama saja Husna, yang penting, tekad dan usaha kita..”. Cikgu Hamzah menggosok lembut bahu anaknya. Husna lega kerana keputusannya diterima oleh Cikgu Hamzah dengan hati yang terbuka. Namun, Husna agak gusar dengan reaksi ibunya dan dia juga tidak pasti bagaimana penerimaan ibunya nanti terhadap keputusan tersebut. Husna tahu, ibunya berharap bahawa dia akan menerima tawaran tersebut.
“Abah rasa ibu akan marah Husna tak nanti?”. Wajah Husna bertukar muram seketika.
“Kenapa Husna fikir ibu akan marah? Sebab Husna tolak tawaran tu? Hanya sebab itu?” Cikgu Hamzah tergelak kecil. Pelik pula Husna melihat abahnya begitu.
“Husna..Husna..ibu Husna takkan marah lah nak..Lagipun Husna ada sebab tersendiri kan? Entah-entah ibu lagi suka kot, sebab nanti Husna boleh temankan dia bersembang malam-malam..hihihi..”. Cikgu Hamzah masih tergelak. Husna yang mendengarnya ikut tertawa bersama. Betul juga kata abah, barangkali ibu lagi gembira kerana dia tidak menerima tawaran tersebut.
“Husna, abah nak jumpa cikgu Husna kejap. Husna nak balik sekali dengan abah tak nanti?”. Cikgu Hamzah sudah bangun dari tempat duduknya. Husna berjalan menuruti langkah abahnya.
“Emm..tak apalah abah. Nanti Husna balik dengan Najah. Husna nak jumpa kawan-kawan kejap..”.
Sebaik sahaja Cikgu Hamzah memasuki ruang di bilik guru, Husna cuba mencari kelibat sahabatnya, Najah. ‘Ish..mana pulak si Najah ni. Takkan dah balik kot. Kan dah janji nak balik sama-sama..’. Matanya masih meliar di sekitar kawasan kelas, menjenguk kalau-kalau Najah ada di situ. Sebaik melihat tubuh kecil Najah yang sedang bersandar di tiang bendera sekolah mereka, Husna tersengih lebar.
“Najah..! Hei, Najah..!”. Husna melambaikan tangannya ke arah sahabat baiknya itu.
‘Kenapa pulak Najah nampak murung jer?’. Hati Husna mula tertanya apabila melihat wajah Najah yang agak mendung.
“Eh..kau pergi mana tadi? Ni, apahal pula kau mendung semacam jer? Tadi bukan main gembira lepas dapat keputusan..”. Husna teringat bagaimana gembiranya Najah apabila mengetahui namanya disenaraikan antara pelajar cemerlang di sekolah mereka. Terloncat-loncat Najah sehingga guru-guru mereka tergelak besar melihat gelagatnya. Dan sekarang, apabila melihat wajah Najah yang redup sebegitu, Husna pasti ada sesuatu yang telah berlaku. Najah masih membisu dan sesekali mengeluh kecil.
“Kenapa ni Najah? Alah, ceritalah kat aku. Kau kenapa?”. Husna yang masih belum berpuas hati terus-terusan bertanya. 
“Mak aku Husna..mak aku tak bagi aku masuk sekolah asrama penuh tu..”. Lambat-lambat Najah menjawab. Matanya mula berair. Najah ingin memasuki sekolah berasrama penuh itu, paling penting Najah tidak ingin berpisah dengan Husna, sahabat baiknya. Husna yang sedari tadi hanya mendengar tiba-tiba ketawa kecil.
“Baguslah kalau mak kau tak benarkan kau masuk sekolah tu..”, Husna masih ketawa. Najah merenung Husna tajam. ‘Apa hal dengan Husna ni? Mentang-mentanglah dia dapat masuk sekolah tu, dia nak tinggalkan aku kat sini..Sampai hati kau Husna..’. Mata Najah semakin basah, kecil hatinya melihat tingkah Husna yang begitu.
“Laa..kenapa kau menangis ni Najah? Okey, okey..aku minta maaf kalau aku gelakkan kau tadi..Najah, aku pun tak masuk sekolah tu jugak tau..”. Husna memeluk bahu sahabatnya. Hampir tidak percaya Najah mendengar kata-kata Husna. Bulat matanya memandang Husna. ‘Biar betul si Husna ni. Takkan abah dan ibunya tak benarkan dia masuk sekolah tu jugak..’ Najah mula kehairanan.
“Betul ke ni Husna?”. Najah masih berasa tidak percaya dengan kenyataan Husna.
“Kenapa? Tak percaya?” Husna tersengih. “Aku memang tak masuk sekolah tu lah Najah. Aku nak masuk sekolah biasa sahaja. Aku nak temankan kau kat sini..”, dengan bersahaja Husna menambah.
“Banyaklah kau Husna..hahaha..”. Wajah Najah kembali ceria. Dia tahu Husna tidak berbohong. Walau hatinya masih tertanya apakah sebabnya Husna menolak tawaran tersebut, namun, dia sangat gembira kerana tidak perlu berpisah dengan sahabatnya itu.
“Nanti kita pergi sekolah sama-sama lagi ek..”. Lega hati Husna melihat Najah sudah mula tersenyum.
“Husna..tahniah..”. Husna berpaling apabila mendengar suara seseorang dari arah belakangnya. Najah yang masih ketawa, terdiam seketika apabila melihat wajah Rayhan.
“Terima kasih..tahniah juga untuk awak..”, balas Husna, sedikit kekok kedengarannya. Husna sedikit serba salah, tidak tahu bagaimana hendak menyambung perbualan tersebut. Sejak dari peristiwa Rayhan meminta maaf dengannya, Husna seakan sukar untuk menjalin persahabatan dengannya.
“Emm..saya dengar awak dapat tawaran sekolah asrama penuh. Tahniah lagi sekali..”. Rayhan kelihatannya masih ingin meneruskan perbualan tersebut, walau Husna tampak seperti sudah tidak lagi berminat.
“Saya tak terima pun tawaran tu..Eh, awak, tak apalah. Saya dengan Najah dah nak balik ni. Nanti kalau ada masa, kita jumpa lagi. Selamat bercuti..”. Husna menarik tangan Najah dan terus beredar dari kawasan tersebut. Entah kenapa, Husna masih geram dengan tindakan Rayhan yang mengambil bukunya tempoh hari, walaupun dia sudah meminta maaf atas perkara tersebut. Dia cuma mahu cepat-cepat pergi dari situ, tanpa perlu melihat wajah Rayhan lagi. Dan Rayhan yang masih berdiri di situ saat Husna berlalu, terus memerhatikan setiap langkah Husna.

~ Akan bersambung lagik..hihihi..~

Aku dan buku..

Salam. 


Novel terbaru Kak NB
Bercerita tentang buku, aku pasti takkan lepas daripada brcerita tentang penulis kegemaranku ini, Kak Norhayati Berahim a.k.a Kak NB. Mula mngenali dan menggemari beliau tatkala usia mula mnginjak 14 tahun, aku banyak mmbesar brsama karya2nya. Kadangkala aku terasa seperti hidup di dalam setiap karya yg dihasilkannya itu. Apa yg menarik tentang kak NB?Banyak sekali yg menarik tentang setiap karya yg dihasilkannya. Sama ada ia membawa tema cinta, kekeluargaan, isu semasa atau apa shaja, pada aku, ia memiliki keistimewaannya yg trsendiri. Mmbesar brsama karyanya mmbuatkan aku dewasa mnjadi seseorg yg lbih tahu brfikir tentang apa sbnrnya makna khidupan ini. Sejujurnya, aku benar-benar serasi dan sebati dgn hasil tulisannya. Sejak mula mmbaca hasil karyanya pada usia 14tahun, sebuah novel brtajuk 'Cinta dan Cita', aku mula memasang harap agar suatu hari nanti aku akan mmpunyai peluang untuk bersua muka dan brbicara brsama kak NB. Alhamdulillah, akhirnya setelah 13 tahun brlalu, kesempatan itu aku peroleh jua. Terima kasih kak kerana tlh bnyak mndidik saya dengan karya2 yg mnyentuh hati, mmbuatkan saya brfikir, mmbawa saya mngembara, mngajar saya tentang ilmu dan mmbuatkan saya lebih positif dlm meniti khidupan. Moga akak NB terus brkarya, dilimpahkan rezeki oleh NYA dan diberikan kesihatan yg baik oleh ALLAH untuk terus mnyampaikan pesanan buat kami semua..Aminn..


Nak jmpa akak lagi..!

Saturday, October 16, 2010

Layar: Bab 3

BAB 3
Cikgu Hamzah membuka topi keledarnya, lalu mencapai satu beg plastik yang terdapat dalam bakul motorsikalnya.
“Assalamualaikum..” Dia memberi salam lantas menaiki tangga rumah kayu tersebut. Cikgu Hamzah duduk di beranda rumahnya untuk melepaskan lelah. Selesai solat Asar petang Sabtu itu, Cikgu Hamzah menghabiskan masanya di kebun pisang miliknya di hujung kampung tersebut. Itu sahaja hari yang lapang bagi dirinya, selepas satu minggu berhempas pulas mendidik anak bangsa. Kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk melakukan perkara yang digemarinya iaitu berkebun.
“Ish..mana semua orang ni? Salam pun tak berjawab nih..”. Kebiasaannya, waktu petang begitu isterinya akan menyapu dan membersihkan daun-daun di sekitar laman rumah mereka. Sedari tadi, Cikgu Hamzah lihat rumahnya agak sunyi walaupun pintu rumahnya terbuka luas.
“Eh..abang dah balik..saya kat belakang tadi, tak sedar abang dah balik..” Cikgu Saadah muncul menatang dulang air kopi dan sepiring kuih. Dihulurkan secawan buat si suami dan meletakkan piring kuih berhampiran sisi cawan tersebut.
“Mak Ton datang tadi. Rancak pulak kami berbual. Ini, dia bawakkan kuih cik mek molek ni untuk kita. Ingat pulak orang tua tu yang abang suka makan kuih ni..” Cikgu Saadah mula bercerita. Dia memerhatikan sahaja Cikgu Hamzah menyuap kuih tersebut dengan berselera. Tersenyum sendiri dia melihat gelagat suaminya.
“Pandai Mak Ton buat, kena betul dengan selera saya..hihi..Eh, awak tak makan ke? Ni kalau awak biarkan, mahu habis sepiring saya makan ni..” Cikgu Hamzah mula mengusik isterinya.
“Alah..makan jelah bang..Saya dah kenyang tengok abang makan.” Cikgu Saadah menjawab lembut. Ditatap mata si suami penuh kasih sayang. Cikgu Hamzah tersengih. Sudah lebih 15 tahun tahun mereka melayari bahtera bersama, dan isterinya masih sama seperti yang dikenalinya kali pertama dahulu. Lembut dan penuh pengertian.
“Aik..? Tengok saya makan pun dah kenyang? Cikgu Saadah, apa hal awak romantik benar dengan saya petang-petang gini?” Cikgu Hamzah masih terus menerus mengusik.
“Cikgu Hamzah sayang, apa salahnya kalau romantik waktu petang? Bukan ke abang selalu cakap, kasih dan sayang itu tak mengira batasan waktu? Masakan abang dah lupa?” Cikgu Saadah pantas membalas usikan itu.
Cikgu Saadah masih ingat kali pertama dia bertemu dengan suaminya itu. Ayat suaminya itulah yang sering membuatkan hatinya lembut.  Mereka bersekolah menengah bersama-sama, namun, tidak pernah saling mengenali sehinggalah mereka bertemu kembali ketika ditugaskan mengajar di sekolah yang sama. Mengenali lelaki itu benar-benar mencabar dirinya, lelaki itu tak pernah kenal erti mengalah walaupun Cikgu Saadah sedar bahawa hubungan mereka terlalu rapuh. Kalaulah masa boleh diputarkan kembali, Cikgu Saadah tidak ingin melalui saat-saat getir itu sekali lagi.
Cikgu Hamzah berhenti menyuap.“Mana mungkin saya lupa Cikgu Saadah..Cuma, sesekali bila ayat tu keluar dari mulut awak, lain pulak rasanya..rasa macam hangat saja hati saya ni..” Cikgu Hamzah melekapkan tangannya ke dada sambil melirik manja ke arah Cikgu Saadah. Mereka akhirnya berbalas senyuman.
“Abah..! Ibu.!” Dari kejauhan kelihatan seorang gadis muda berlari sambil melambai-lambaikan tangannya, lantas membuka pintu pagar. Dia membuka kasut sukan, lalu mula menaiki tangga sepantas mungkin. Cikgu Hamzah tersengih panjang tatkala melihat Husna.
“Masya Allah budak ni..bagilah salam dulu. Ini main terjah saja..” Cikgu Saadah menggelengkan kepala sebaik sahaja Husna sampai ke muka pintu. Cikgu Hamzah tergelak kecil melihat kaki seluar anaknya yang dipenuhi dengan kemuncup. Anaknya itu pasti pulang melalui kawasan perkuburan, kerana itulah jalan pintas untuk cepat sampai ke rumah mereka.
“Assalamualaikum abah, ibu..” Husna menyalami kedua-dua orang tuanya. Tidak sabar rasanya dia ingin memberitahu abah dan ibu tentang berita gembira yang baru diterimanya. Kerana itulah, dia hampir terlupa sebentar untuk memberi salam sebaik tiba di rumah tadi.
 “Husna balik ikut jalan kubur ke tadi?” Cikgu Hamzah meletakkan beg sandang Husna di sebelahnya. Lama dia memerhatikan beg tersebut. Beg yang sudah tidak berfungsi zipnya dan talinya juga sudah hampir koyak kerana terlalu kerap digunakan. Bukan Cikgu Hamzah tidak mampu untuk membelikan beg baru untuk anaknya itu, bahkan sudah beberapa kali dia menegur Husna untuk menukarnya kerana keadaan beg itu yang sudah terlalu daif bagi dirinya. Namun, setiap kali itu jugalah Husna menolak dengan alasan yang serupa. Katanya, dia sayang pada beg itu dan tidak sanggup untuk menukarnya kerana itu adalah hadiah dari abah sewaktu dia di Tahun 4. Hadiah kerana Husna berjaya menjuarai pertandingan bersajak peringkat daerah. Cikgu Hamzah faham benar akan sikap anaknya yang seorang ini, kalau itu mahunya, tiada siapa yang mampu menghalang.
“Husna lalu jalan tu tadi abah, sebab nak cepat sampai kat rumah..hihihi..” tersengih Husna sambil duduk bersila berhampiran abahnya. Pantas tangannya mula mencabut kemuncup yang melekat di kaki seluarnya. Cikgu Saadah mengeluh kecil mengenangkan telatah si anak berusia 12 tahun itu. Kadangkala lagaknya mengalahkan budak lelaki, namun, amat manja sekali, terutama dengan abahnya.
“Emm..Husna balik cepat pun sebab ada berita gembira nak beritahu abah dengan ibu tau..”. Husna berkata riang sambil menatap wajah ibu dan abahnya satu persatu. Tangannya masih memegang kaki seluar. Cikgu Hamzah dan Cikgu Saadah saling berpandangan, agak kehairanan dengan kata-kata Husna.
“Berita apa?”, serentak itu pertanyaan mereka berdua sehingga mengundang tawa Husna. Dan, akhirnya mereka bertiga tertawa bersama.
“Eh..kejap..ini plastik apa abah?”. Ketawanya terhenti sekejap apabila Husna terpandang sebuah beg plastik yang berada di tepi tangga. Dia membelek-beleknya lalu tersenyum lebar.
“Allah...abah lupa tadi. Abah beli pisang goreng untuk kita minum petang, tapi, tengok aje kuih cik mek molek ni, abah terus lupa diri kejap..”Cikgu Hamzah mencapai plastik berisi pisang goreng lalu meletakkan isinya ke dalam piring kuih yang telah kosong. Sebiji kuih cik mek molek yang masih berbaki diletakkan dalam piring cawannya. Husna berlari turun ke paip air di bawah rumah untuk mencuci tangan. Sepantas itu jugalah dia kembali dan mencapai sekeping pisang goreng yang menjadi kegemarannya itu.

“Emm...anak dengan abah sama sahaja..Dapat aja makanan kegemaran, terus lupa diri..” Cikgu Saadah menuangkan secawan lagi kopi buat anaknya. Kedua-dua beranak itu cuma tersengih panjang mendengar kata-kata Cikgu Saadah. Bagaimana sikap Cikgu Hamzah, begitu jugalah perangai Husna. Kadangkala, Cikgu Saadah cemburu juga melihat keakraban kedua-dua beranak itu, namun, itu tidak pernah menjadi hal yang besar buat dirinya.
“Haa..sekarang cerita kat abah dengan ibu. Apa berita gembira yang Husna nak beritahu tadi?” Cikgu Hamzah mula bertanya. Husna mengunyah perlahan baki pisang goreng di tangannya lalu menghirup sedikit air kopi.
“Sebenarnya abah, ibu..emm..Husna dapat tawaran ke sekolah berasrama penuh..” Mata Husna bercahaya gembira. Petang tadi dia ke sekolah kerana terlibat dengan latihan bagi persembahan akhir tahun kelasnya. Guru kelasnya yang turut berada di sekolah waktu itu memaklumkan bahawa tawaran daripada sekolah berasrama penuh itu dibuat berdasarkan keputusan cemerlang yang diperoleh Husna dalam peperiksaan percubaan UPSR serta penglibatannya dalam kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Selain Husna, sahabatnya Najah dan Lutfi turut mendapat tawaran yang serupa. Cikgu Saadah tersenyum dan merapati anak perempuannya.
“Alhamdulillah Husna..ibu pun turut gembira..” Cikgu Saadah mengusap lembut rambut Husna.
“Terima kasih bu, ini semua berkat doa ibu dan abah..”.
“Husna, betul Husna nak masuk sekolah asrama penuh ni?” Cikgu Hamzah yang hanya mendiamkan diri dari tadi tiba-tiba bersuara.

“Abah bukan apa Husna. Abah nak Husna buat keputusan betul-betul. Ini pilihan Husna. Kalau Husna rasa Husna dah sedia nak jalani hidup dan belajar di sekolah berasrama penuh, abah dan ibu tiada halangan. Semuanya terletak di tangan Husna..”. Cikgu Hamzah menatap wajah anaknya penuh makna. Cikgu Saadah yang setia mendengar hanya mengangguk-anggukkan kepala, tanda bersetuju dengan pendapat si suami.
Hati Husna sentiasa sejuk setiap kali abahnya berbicara tentang perkara yang melibatkan anak-anaknya. Abahnya yang tenang dan kuat berjenaka. Walaupun Cikgu Hamzah yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Bandar Muar merupakan seorang guru disiplin, namun, dia tidaklah segarang seperti disangka. Setiap kali Husna bersedih atau mempunyai masalah, abahlah orang pertama yang menjadi tempat dia mengadu. Kerana itulah Husna lebih rapat dengan abahnya berbanding Cikgu Saadah.
“Husna sebenarnya masih belum pasti abah..lagipun, keputusan UPSR hanya akan keluar minggu depan. Sehingga keputusan keluar, Husna rasanya masih belum layak untuk terima tawaran tu. Dibuatnya nanti keputusan Husna tak baik, macam mana? Semuanya masih belum ada kepastian kan, abah?”. Husna sememangnya agak petah berkata-kata berbanding budak seusia dengannya, mungkin kerana hasil didikan kedua ibu bapa menjadikan dia seorang yang bernas menyuarakan pendapat sendiri.
“Ibu yakin Husna..Insya Allah, Husna akan dapat keputusan yang baik nanti. Doa ibu sentiasa bersama Husna tau..”. Bersungguh Cikgu Saadah meyakinkan Husna.
“Tengok..ibu pun yakin dengan Husna. Takkanlah anak abah ini tak yakin dengan diri sendiri pulak? Husna yang abah kenal, bukan orang macam tu..”. Separuh mengusik Cikgu Hamzah cuba menduga anaknya. Tersengih lebar Husna, lalu tangannya pantas memaut lengan Cikgu Hamzah.
“Husna bukan tak yakinlah abah..Cuma, belum pasti sahaja. Abah dan ibu doakan Husna tau, supaya nanti Husna dapat keputusan yang baik..”. Manja sahaja kedengaran suara Husna. Cikgu Saadah tergelak kecil melihat gelagat Husna yang masih tidak renggang pautannya pada lengan Cikgu Hamzah.
“Emm..kalau kak long dengan abang ngah tahu pasal berita ni, mesti diaorang seronok kan ibu?”. Husna tiba-tiba teringat pada kakak dan abang kembarnya yang berusia 15 tahun itu. Kedua-dua mereka juga belajar di sekolah berasrama penuh di Melaka. Setiap dua atau tiga minggu sekali, mereka akan pulang, namun, pada minggu itu mereka tidak dapat pulang kerana sedang menghadapi peperiksaan PMR. Sudah agak lama juga Husna tidak bertemu dengan Humairah dan Haris, dan rindu pula rasanya dia ingin bertemu dengan mereka berdua.
“Emm..nanti kalau Husna masuk sekolah asrama, siapalah nak temankan ibu sembang setiap malam? Kakak dengan abang pun tak ada. Sekarang Husna pulak..” Cikgu Saadah pura-pura merajuk. Bulat mata Cikgu Hamzah melihat tingkah isterinya yang bersahaja.  
“Alah ibu..tu..abah kan ada..ibu cakaplah puas-puas dengan abah nanti, tak ada siapa akan kacau dah..hihihi..” Husna tersenyum sambil mengenyitkan mata ke arah Cikgu Hamzah. Ketawa besar Cikgu Hamzah mendengarnya. Anak itu semakin lama, semakin pandai berbicara.
“Pandailah Husna ya..” Cikgu Saadah menarik hidung anaknya, geram bercampur lucu apabila anaknya mengucapkan kata-kata sebegitu.
“Makcik.! Pakcik..!” Seorang budak lelaki bertubuh kecil dan memakai seluar pendek kelihatan berdiri di luar pagar rumah Cikgu Hamzah. Di sebelahnya, seorang budak lelaki yang agak tinggi sedang memegang basikal. Budak lelaki itu terjenguk-jenguk dari luar pagar rumah, membiarkan sahaja sahabatnya memanggil tuan rumah.
“Itukan Kim Wah, kan Husna? Apa halnya datang petang-petang macam ni?” Cikgu Saadah cam benar pada anak penjual sayur yang sering menjaja di sekitar kawasan kampung mereka itu. Husna lantas menuruni tangga dan membuka pintu pagar. Hatinya tertanya tujuan Kim Wah datang menemuinya petang itu, ditambah pula dengan kehadiran seseorang yang tidak dikenalinya.
“Kim Wah, masuklah dulu. Apa hal kau datang jumpa aku ni? Aku ada tertinggal barang kat sekolah ke tadi?” Husna mula menebak dengan pelbagai soalan. Kim Wah yang sudah merah mukanya mengesat peluh yang menitis di pipinya.
“Bukanlah Husna..ini, ada orang mahu jumpa kau. Aku suruh dia datang sendiri, tapi, katanya dia malu, nak juga aku temankan..” Kim Wah menarik tangan sahabatnya yang sedari tadi sekadar berdiri di luar pagar. Husna agak kehairanan melihat wajah budak lelaki itu. Serasanya dia pernah melihat budak itu, tapi, seingat Husna, belum pernah sekali pun dia berbicara dengannya. ‘Apa kena dengan budak ni? Aku ada buat salah dengan dia ke? Tiba-tiba saja datang cari aku..’ Desis hati kecil Husna.
“Err..saya..nama saya Rayhan..saya datang ni sebenarnya mahu minta maaf dengan awak..” Rayhan mula bersuara dalam serba salah.
‘Minta maaf? Kenapa harus dia minta maaf? Atau..’. Dan, Husna masih terpempan saat Rayhan menceritakan segala yang telah berlaku. 

Friday, October 15, 2010

Hati aku..

Salam. 

Sesudah meletakkan 'Layar' pada tempatnya, serasanya aku perlu menitipkan sesuatu di ruangan ini. Lamanya tidak berbicara begini di sini. Satu-satunya tempat, satu-satunya ruangan yg mnjadi milikku, yg mnjadi tapak untuk aku terus mncoretkan apa yg aku rasai. Kisah aku tidaklah bgitu menarik, namun, apa yg indahnya adalah aku ingin mencoretkannya di sini, agar ia terus mnjadi pnduan bagiku.  Juga mungkin pada org lain juga. 

Ini kisah lama. Kisah aku dan dia. Kisah yg tidak ingin aku ungkit kembali. Kisah yg tidak mahu aku ulangi lagi. Aku tdk prnah brdendam pada dia. Sungguh, aku bahagia melihat dia bahagia. Sesekali, terdetik di hati, mampukah untuk kami kmbali brsahabat, sama sperti di awal prkenalan kami dahulu. Ya, kami brmula sbg sahabat, dan pngakhirannya, aku juga ingin kami brsahabat kmbali. Akhirnya, setelah bberapa ketika, aku pnyai kesempatan itu. Ksempatan untuk brsua, dan ksempatan untuk brbual lagi dengan dia. Bukan kepalang syukurku saat itu. Syukur krn sangka aku, kami boleh brsahabat kmbali spt dahulu. Nyata, ia bkn spt yg aku hrpkan. Aku umpama lngsung tdk mngenalinya. Kata2nya dahulu, ceria gelak tawanya, lngsung tidak aku temui dlm tiap kata2nya. Saat itu, aku mngerti. Ya, sedarlah wahai hati, sedarlah wahai diri, dia tidak ingin lagi mnjadi seorg sahabat. Jahat benarkah aku shingga dia tdk ingin mmandang wajah aku? Aku terkasima. Dan, aku pasti, aku telah lama khilangan sahabat itu. 

Mngingati kmbali, akukah yg patut dipersalahkan? Atau, sangkanya aku ingin mngganggu gugat kbahagiaan yg sdg dia kcapi kini? Ya ALLAH, tdk pnah trlintas sekali pun utk aku brbuat bgitu. Aku sedar siapa aku. Aku tahu di mana letak duduk diriku. Aku cuma ingin mncari shbtku, dan jika shbt itu tdk ingin brsahabat lg, apalah daya aku? Mungkin aku yg trlebih sngka. Mungkin nama aku tlh digugurkan drp snarai shbtnya. Tak mngapalah. Wahai shbt, terima kasih krn pnah mnjadi shbtku, pnah mndorong aku, pnah mnasihatiku, dan pnah mndgr ceritaku. Aku bngga krn mmpunyai shbt sptmu. 

Ya ALLAH, lindungilah shbtku, bahagiakanlah dirinya, tenangkanlah hatinya mnghadapi sgala dugaanMU..aku juga telah bhagia, dan aku mahu dia mlepaskan sgala rasa sesalnya itu..

Layar: Bab 2

BAB 2
 Penat. Itu sahaja yang dirasakan Rayhan saat itu. Tayar basikalnya pancit di pertengahan jalan sewaktu dia pulang sebentar tadi. Terpaksalah dia menyorongnya sehingga sampai ke rumah. Sudahlah sepanjang petang dia berlatih bola sepak, terpaksa pula menyorong basikal. Rayhan benar-benar keletihan. Diambilnya sebuah kusyen lalu berbaring di atas sofa.
“Lambat Rayhan balik hari ni?” Uminya muncul dari dapur sambil mendukung adik bongsunya. Puan Khadijah baru selesai memandikan anak perempuannya. Dia keluar apabila mendengar suara memberi salam sebentar tadi. Rayhan menghulurkan tangan, cuba mencapai adik perempuannya yang berusia hampir setahun itu. Yasmin yang masih berbalut tuala itu mengekek ketawa tatkala diagah oleh abang sulungnya. Rayhan tersengih, tak sabar rasanya dia ingin mencium adiknya yang comel itu.
“Haa...tak payah adik. Abang bucuk, abang tak mandi lagi, tak boleh main ngan adik. Udah, pergi mandi Rayhan, badan kamu dah macam bau kerbau dah..” suruh Puan Khadijah. Kalau dibiarkan lebih lama, lagi liat Rayhan mahu mandi.
“Alah Umi, bagilah orang dukung adik kejap..orang dah rindu kat budak tembam nih..” Rayhan mencubit pipi Yasmin yang bulat. Penat badannya tadi tiba-tiba hilang apabila melihat wajah Yasmin. Itulah satu-satu adik perempuannya, dan kerana itu, Yasmin sering menjadi buah hati di kalangan adik-beradiknya yang seramai 4 orang itu.
“Dah..dah, pergi mandi Rayhan. Kejap lagi dah nak Maghrib. Kamu solat Asar tak petang tadi?” Puan Khadijah sangat mengerti sikap anak sulungnya itu. Rayhan kalau sudah asyik dengan bola sepak, lupa segalanya.
“Orang dah solat kat surau sekolah petang tadi. Alah Umi, orang tahulah. Orang takkan nak tinggalkan solat lagi..” Rayhan menjawab sambil mengusap-usap rambut Yasmin yang masih basah. Lega hati Puan Khadijah mendengar jawapan Rayhan. Setidaknya dia tahu, anaknya sudah mampu berfikir. Rayhan bukanlah anak yang sukar dibentuk, walaupun kadangkala agak manja dan degil.  
“Ok adik. Abang nak mandi dulu. Nanti malam ni kita main puas-puas ya,” pantas tangan Rayhan menarik hidung Yasmin. Seolah faham dengan kata-kata abangnya, Yasmin ketawa mengekek.

Usai solat Maghrib, Rayhan berbaring di atas katil. Sebentar tadi, Uminya sudah memanggil untuk makan malam, tapi, katanya dia masih belum begitu lapar. Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu, lalu bingkas bangun. Beg sekolahnya dibuka dan dia mengeluarkan sebuah buku nota kecil. Rayhan menarik kerusi dan meletakkan buku itu di atas meja tulisnya. Dia teringatkan peristiwa semalam. Rayhan sedar, dia telah melakukan kesilapan. Dan, sepatutnya dirinyalah yang dipersalahkan. Namun, entah mengapa, semalam Rayhan benar-benar menjadi seorang yang pengecut. Sebelum ini, dia tidak pernah gusar untuk mengaku setiap kesalahan yang pernah dilakukannya, walaupun di hadapan ayahnya sendiri.
‘Aku tak patut buat macam tu. Tapi, macam mana aku nak minta maaf dengan dia? Aku tak pernah pun cakap dengan dia..’ Rayhan buntu. Rasa bersalah mula menyelinap ke dalam hatinya.
Sudah lebih 6 bulan Rayhan berpindah ke kampung tersebut. Malah, dia juga sempat mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah di sekolah barunya. Mulanya Rayhan sedikit memberontak tatkala ayahnya yang bertugas sebagai seorang pegawai polis memaklumkan bahawa mereka akan berpindah sekali lagi. Rayhan tidak ingin berpisah dengan teman-teman di tempat lamanya, namun, dia akur. Ternyata Rayhan betah berada di kampung itu. Teman-teman baru yang mesra, malah suasananya juga cukup membuatkan Rayhan merasakan dirinya diterima di situ. Rayhan masih membelek helaian buku notanya. Dia merenung pada satu catatan yang ditulisnya petang semalam. 
‘Kenapa aku ambil buku dia ya?’. Serasanya Rayhan masih belum mengerti dengan tindakan dirinya sendiri. Dia bukan sahaja telah mencuri, malah telah menceroboh hak peribadi orang lain. ‘Bodohlah aku..buat apa aku baca diari dia..’. Rayhan mengutuk dirinya sendiri. Rayhan kembali berbaring di atas katil. Memejamkan mata dan cuba mengingati kembali tindakannya kala itu.
Rayhan tiba awal di sekolah pada pagi tersebut. Selesai membersihkan kelas, dia merayau ke kelas sebelah untuk mencari Fathimi. Tujuannya adalah untuk memaklumkan tentang perlawanan bola sepak yang akan diadakan pada petang itu. Namun, lain yang dicarinya, lain pula yang ditemui. Sewaktu melintasi sebuah kerusi berhampiran dengan meja Fathimi, kakinya tersadung dan sebuah buku terjatuh dari meja berhampiran. Buku itu dikutipnya, dan dibeleknya perlahan. Entah kenapa, tangannya pantas membuka helaian demi helaian pada buku tersebut. Tertarik benar Rayhan apabila melihat nama pada buku tersebut. Lupa sebentar pada niat asalnya untuk bertemu dengan Fathimi.
‘Layar? Buku apa ni?’. Tangannya mula merayap pada setiap helaian dan matanya menangkap pada satu baris kata-kata yang ditulis pada helaian kedua buku tersebut.
 ‘Kata abah, hidup ini umpama sebuah kapal yang sedang belayar. Kita adalah nakhodanya, dan kita jugalah yang akan menentukan arah tujunya. Mungkin kita akan dilambung ombak, mungkin kita akan berhadapan dengan musuh, tapi, itu tidak akan mematahkan semangat kita untuk meneruskan pelayaran ini..
Menarik, fikir Rayhan. Siapakah gerangan pemilik buku yang bernama ‘Layar’ ini? Hatinya mula tertanya. Tanpa disedari, Rayhan masih memegang erat buku tersebut tatkala kakinya melangkah keluar dari kelas. Masih khusyuk membaca setiap baris di dalamnya tanpa dia sedari bahawa dia sebenarnya sedang membaca sebuah diari!
Rayhan masih buntu. Dia masih memikirkan tindakannya yang tidak berterus-terang tentang perkara yang sebenar. ‘Mungkin aku patut minta maaf dengan dia..Tapi, aku tak pernah cakap pun dengan dia..aduh..’ Rayhan menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Dia sendiri hairan, kenapa dia perlu terus menerus memikirkan perkara itu, sedangkan buku tersebut sudah pun selamat dipulangkan kembali kepada tuannya. Kenapa dia harus terus berfikir tentangnya? Mungkin kerana rasa bersalah yang bersarang membuatkan Rayhan ingin bertemu sendiri dengan pemilik buku tersebut.
Sejujurnya, Rayhan ingin mengenali si pemilik buku tersebut. Ingin mengenali penulis setiap bicara pada buku tersebut. Namun, separuh dari hatinya terlalu takut untuk bertemu mata dengan orang tersebut. Rayhan bimbang, takut andainya orang itu akan menuduh dia yang sebaliknya. Memang dia bersalah dalam hal tersebut, tapi, itu adalah perkara yang dia sendiri tidak sengajakan.
Rayhan sudah duduk di birai katilnya. Cuba berfikir kembali. Dia teringat pesanan Uminya yang selalu tenang. Umi selalu menitipkan pesanan agar dia menjadi seorang manusia bertanggungjawab atas setiap tindakan yang dilakukannya.
‘Betul cakap Umi..aku patut bertanggungjawab atas hal ini..’ Rayhan sudah nekad. Apa pun caranya, dia harus berterus terang kepada pemilik buku tersebut. Rayhan kembali pada meja tulisnya. Mencapai buku nota tersebut dan menatap kembali pada apa yang telah dicatatnya. Rayhan telah menulis nama beserta alamat pemilik buku tersebut, sebelum meletakkannya di perpustakaan sekolah mereka. Dia sedar, tindakannya umpama melempar batu sembunyi tangan, dan sekarang dia harus membetulkan kesilapan tersebut. Ya, dia akan menemui tuan punya buku itu. Dia akan bersemuka dan paling penting dia harus meminta maaf kerana telah membacanya tanpa kebenaran!
~ Akan bersambung...=)..~

Thursday, September 23, 2010

Kisah ini..

Salam. Lama benar tidak mencoret di sini. Kesibukan yg bertandang kadangkala trlalu mmbataskan diriku untuk terus berada lama di ruangan ini. Apepun, hari ini aku brkesempatan untuk mletakkan ssuatu di sini. Hasil karyaku yg prtama, walaupun masih dlm pmbikinan, tp, rsnya aku ingin brkongsinya di sini..Ini kisahnya..LAYAR..

BAB 1





“Kamil!”. Tiba-tiba suatu suara halus kedengaran dari muka pintu kelas. Seorang budak perempuan yang agak tembam berdiri bercekak pinggang sambil matanya melilau mencari nama tersebut.
“Kamil!”. Jerit Husna sekali lagi apabila melihat kelibat seorang budak lelaki kurus yang terhendap-hendap di sebalik kerusi kayu. Budak lelaki bernama Kamil itu tersengih-sengih tatkala mengetahui kelakuannya telah disedari oleh Husna.  
“Mana kau letak buku aku?” sergah Husna yang masih bercekak pinggang  kala kakinya mula menapak ke arah budak tersebut. Matanya membulat merenung Kamil yang masih selamba bersembunyi di sebalik kerusi kayu itu. Husna sedar yang saiz badan Kamil hanyalah separuh dari saiznya yang agak tembam. Kalau diikutkan hatinya yang panas, mahu saja dia mengheret Kamil keluar dari tempat ‘persembunyiannya’ itu.
“Buku apa ni Husna? Tiba-tiba saja datang, dah marah-marah aku. Aku bukan tahu apa-apa pun,” dengan bersahaja Kamil menjawab sambil tersenyum.
Geram benar Husna melihat gelagat Kamil. Dia tahu dia perlu bersabar dengan Kamil. Budak lelaki berusia 12 tahun yang belajar bersebelahan dengan kelasnya itu memang terkenal dengan sikap panjang tangan. Husna yakin bahawa bukunya telah diambil, atau lebih tepat lagi, dicuri oleh Kamil.
“Aku tahu kau yang ambil buku aku kan? Kau nampak aku tulis buku itu semalam, bila kau mintak, aku tak bagi, jadi kau curi kan? Baik kau mengaku saja Kamil,” Husna mengetap bibirnya, cuba menahan perasaan yang membuak.
“Aku mana ambil buku kau. Lagipun buat apa aku ambil buku yang berbalut kertas bunga-bunga, warna pink macam tu, tak kuasa aku tau..” Kamil mula ketawa berdekah-dekah. Ketawanya disambut dengan ketawa beberapa orang lagi budak lelaki yang turut berada dalam kelas itu. Riuh rendah bunyi Kelas 6 Seroja dengan suara mereka.
“Husna, aku rasa tak ada guna kau tanya si Kamil tu. Sampai sudah pun dia takkan mengaku yang dia curi buku kau,” separuh berbisik Najah berkata sambil menyiku lengan Husna. Sedari tadi, Najah hanya berdiri di belakang Husna, cuba menenangkan sahabatnya itu. Najah yang kecil molek memegang tangan Husna, bimbang kalau-kalau sahabatnya cuba melakukan sesuatu di luar jangkaan.  
“Aku tak peduli Najah. Dia boleh curi barang orang lain, tapi bukan barang aku. Aku akan dapatkan balik buku aku, tak kiralah kalau aku kena bertumbuk pun dengan si Kamil ni!” suara Husna sudah mula bergetar. Kamil dan kawan-kawannya yang asyik ketawa dari tadi terdiam tiba-tiba. Kamil kenal benar dengan Husna, dia tahu yang Husna tak pernah main-main dengan apa yang diucapkannya. Dia menelan liur, cuba membayangkan bagaimana keadaannya kalau Husna benar-benar mahu menumbuknya. Melihatkan saiz Husna sahaja sudah cukup membuatkan hatinya gerun.
“Husna, kau biar betul? Takkan kau nak bertumbuk dengan budak lelaki pulak?” Najah yang separuh kaget mendengar kata-kata tersebut memandang wajah Husna yang merah padam menahan marah. Najah yang kelihatan takut-takut menarik tangan Husna walaupun dia sedar yang tiada apa yang boleh dilakukannya bagi menghalang Husna tika ini.
“Aku..aku tak ambil buku kau lah Husna,” tergagap-gagap Kamil menyusun kata dengan harapan Husna akan menarik balik kata-katanya sebentar tadi. Sejujurnya Kamil sebenarnya menipu Husna. Dia memang mengambil buku Husna, tapi, buku itu telah dikembalikannya ke atas meja Husna awal pagi tadi.
‘Macam mana pulak buku itu boleh hilang. Aku kan dah pulangkan balik pagi tadi, patutnya buku tu dah ada atas meja Husna,’ desis hati kecilnya.
Husna yang dari tadi cuba menahan marah, sedikit kendur apabila mendengar kata-kata Kamil. Matanya mula bergenang, geram, marah, sedih, segalanya bercampur menjadi satu. Perasaannya bercampur baur.
“Kamil, aku rasa baik kau jujur saja dengan aku. Aku takkan tumbuk kau lah. Kau ambil buku aku ke tak?” nada suara Husna mula rendah. Dia menarik salah sebuah kerusi yang ada di situ dan duduk menghadap Kamil yang masih terkebil-kebil memandangnya. Suasana kelas yang mulanya hingar-bingar bertukar reda buat seketika. Husna mengeluh perlahan. Buku itu amat penting bagi dirinya. Ia bukan sekadar buku, malah ia adalah teman baiknya, tempat dia mengadu segala hal yang berlaku pada dirinya. Husna tahu dia perlu mendapatkan kembali buku tersebut, walau apa jua caranya.
“Kenapa kau diam Kamil? Kau dengar tak apa yang aku tanya tadi?” Husna mengasak lagi dengan pertanyaan. Matanya masih tertancap pada Kamil yang menggaru-garu kepalanya. Serba salah Kamil dibuatnya. Buat seketika, hatinya diburu rasa bersalah. Dia sedar sikapnya yang suka mengambil barang kepunyaan orang menjadikan dia sebagai sasaran paling tepat bagi kejadian ini. Namun, Kamil juga sedar, dia tak akan pernah cuba mencari pasal dengan Husna yang selama ini selalu berbuat baik pada dirinya. Husna tidak pernah memusuhinya, jauh sekali untuk berkata sesuatu yang jelek tentang dirinya walaupun dia tahu tentang sikapnya yang begitu.
“Aku..aku minta maaf Husna. Aku mengaku yang aku memang ambil buku kau semalam. Aku tak buat apa-apa pun pada buku kau, aku cuma nak tengok je..” Kamil menundukkan kepalanya. Husna menarik nafasnya. Dia sudah mengagak yang ini memang kerja Kamil.  
“Tapi..aku dah pulangkan buku kau. Awal pagi tadi, aku dah letak balik atas meja kau. Betul Husna, aku tak tipu, kalau kau tak percaya, kau boleh tanya Timie, dia ada sekali dengan aku pagi tadi,” Kamil menarik lengan Fathimi, meminta sokongan daripada sahabatnya.
“Haa..betul Husna. Betul, aku ada dengan Kamil masa dia pulangkan buku kau pagi tadi. Dia letak atas meja kau. Sumpah Husna, kami tak tipu,” kedua-dua mereka mengangkat tangan, tanda bersungguh dengan apa yang telah mereka katakan.
Husna masih membisu. Tidak tahu apa yang perlu dikatakan. Antara percaya dengan tidak, hatinya masih berbelah bahagi. Kalau benar buku itu telah dikembalikan, bagaimana pula dia tidak menjumpainya? Husna benar-benar bingung!
“Aku rasa, mereka cakap benar lah Husna. Aku pun nampak si Kamil letakkan buku tu atas meja kau pagi tadi. Cuma, aku hairan, bila kau datang pagi tadi, buku tu dah tak ada atas meja..Aku ingat Kamil ambil buku tu balik.. ” Kim Wah yang berada di hujung meja mencelah. Anak Uncle Wong, si penjual sayur itu agak pendiam, namun sesekali bersuara, bernas butirnya.  Kata-katanya membuatkan Husna terpinga-pinga. Jadi, Kamil tidak berbohong, buku itu memang telah dikembalikan. Husna meraup wajahnya perlahan, cuba menahan titis-titis kecil yang mula mengalir.
“Husna!” Dari kejauhan, kelihatan seorang budak lelaki bercermin mata tebal berlari melintasi kelas mereka. Termengah-mengah Lutfi apabila sampai di hadapan kelas tersebut.
“Husna..aku dah jumpa buku kau!” dengan nafas yang masih turun naik, Lutfi menggoyang-goyangkan buku yang ada di tangannya. Sejurus itu, Husna meluru ke arah sahabatnya.
“Mana kau jumpa ni?” tangan Husna pantas mencapai buku yang ada di tangan Lutfi. Membelek-belek buku tersebut, bimbang kalau-kalau ada bahagian yang hilang atau terkoyak. Lega hatinya, hanya Tuhan sahaja yang tahu.
“Aku mengemas perpustakaan tadi. Tiba-tiba nampak buku kau ni atas meja belakang, aku ambillah. Aku teringat yang kau bagitau aku pagi tadi yang buku kau hilang..” Lutfi menjelaskan. Dia merupakan ketua pengawas perpustakaan di sekolah mereka. Setiap petang, sebelum pulang dia akan mengemaskan buku-buku yang telah digunakan dan menulis laporan aktiviti pada hari berkenaan.
“Camne pulak buku kau boleh sampai ke library?” Najah menghulurkan sedikit kepalanya dari pintu kelas. Pertanyaan Najah menjadikan Husna bingung. Kalau Kamil telah meletakkan buku itu di atas mejanya pagi tadi, maknanya ada kemungkinan orang lain yang telah mengambil buku itu kembali!
‘Siapa yang ambil buku aku ni? Pelik, kenapa dia letakkan buku ni di perpustakaan pulak? Agaknya sebab dia ingat aku pengawas perpustakaan, sebab tu dia hantar kat sana kot..’ Husna membuat telahan. Siapa jua orangnya, Husna tak kisah. Yang penting, bukunya sudah dikembalikan. Dan, Husna memeluk bukunya erat sambil tersenyum.

Akan brsambung..~

Saturday, August 7, 2010

Aku kembaliiiii...hihi..



Salam. Wah..lamanya tak menempek kat cni..hihi..Ok, aku sudah kmbali..! Macamlah bgus sangat.. Kali ni, blog aku akan berwajah baru dan aku akan mula mekapkan blog ni sikit2..Motip? Sebenarnya tak ada apa2 motif trsembunyi pun, sekadar untuk memeriahkan kmbali pnulisan aku di blog ini. Lagipun, aku punya sesuatu yg istimewa untuk dikongsikan di blog ini tak lama lagi..So, rasanya aku perlu brsedia scukupnya untuk membuat sesuatu pada blog ini.. 

Aku mahu kmbali ke alam pnulisan ini. Selepas berbulan-bulan aku mnyibukkan diri dgn pelbagai kerja yang mnuntut aku untuk mninggaklan blog ini, serasanya ini adalah waktu yg tepat untuk aku kmbali mnulis di sini..Kembali dgn sesuatu yg brbeza..

Chaiyok2!

Saturday, March 13, 2010

Dunia kita berbeza..

Salam.

Huish..lama jugak tidak mnjenguk dan mnulis di sini. Aku baru mnyiapkan segala prsiapan untuk mnghadiri konferens di Kuala Lumpur tidak lama lagi. Emm.. banyak yang brmain di fikiran kala ini, namun, terkadang sgalanya luput dek kerana kesibukan hal2 yang jauh lbih penting. Aku sebenarnya terkenangkan seorang sahabat, dan beberapa sahabat yang lain. Sahabat yang dunia mereka jauh brbeza dari dunia aku yang kecil ini. Sahabat yang kadang kala, tidak dapat aku jangkau apa yg mereka inginkan dan mahu dalam hidup ini. Aku tahu, mereka adalah antara insan dan sahabat2 yg pernah singgah dalam hidup aku, dan aku tak mampu untuk meneroka dunia itu brsama mereka. Entahlah, dunia kami jauh brbeza. Mungkin tidaklah trlalu ketara prbezaannya, namun, ia sudah ckup untuk mmbina jurang yg besar antara kami.

Aku pernah mncuba untuk memahami dunia itu, tetapi, aku tahu, aku tak mampu untuk memasukinya. Ia terlalu jauh untuk aku gapai. Aku cuma seorang sahabat biasa, yang tak punya apa2 untuk dibawa ke dalam dunia yang penuh warna-warni itu. Dunia aku trlalu sederhana, kecil dan sangat biasa. Mungkin, kerana itu, aku akhirnya lebih senang mmerhatikan dari kejauhan. Dan, mendoakan yang trbaik buat mereka. Kadang kala tersenyum sdiri apabila melihat mereka brgembira, namun, aku tidak mampu untuk brkongsi brsama. Aku lbih senang dan bahagia begini, dalam dunia aku yang trsendiri. Ia mungkin sderhana dan biasa, tapi, ia dipenuhi dengan hati insan2 yang sangat aku sayangi dan hormati.

Mungkin catatan aku kali ini sukar untuk difahami, tetapi, ia adalah realiti yang telah lama aku rasakan. Mungkin kerana itu, aku masih bgini. Mungkin aku trlalu takut utk mncuba, tapi, itulah aku. Mungkin belum masanya untuk aku memahami dunia itu.

~ Layar mode..huhu..~