Wednesday, December 22, 2010

Aku dan buku Part 2..

Salam. 

Sejak dua menjak ni, susah benar untuk aku membuka blog ni dan menulis. Penyakit malas dah datang kembali lah ni..hihi..Hari ni aku cuma nak bercerita tentang kegilaan pada buku. Ya, buku. Aku rasa dalam bulan ni saja, dah 3buah buku aku beli, dan aku masih berkeinginan pada 2buah lagi yang dah lama aku cari..huhu..

Rasanya kegilaan aku pada buku ni dah lama, cuma sejak akhir-akhir ni, ia makin menjadi-jadi. Aku gemarkan apa jua genre buku, (seram dan thriller agak kurang, tapi, kadang-kadang layan juga..). Aku sukakan novel inggeris lama, atau baru dan pastinya buku-buku motivasi dan agama. Untuk buku-buku novel Melayu, pastinya karya kak Norhayati Berahim menjadi pilihan utama. Kalau dulu, aku hampir tidak membaca karya daripada penulis yang lain selain kak NB, tapi sekarang aku mula sedikit demi sedikit membuka mata pada karya-karya penulis yang lain. Membuka minda dan hati kepada persepsi lain dalam dunia penulisan. Paling aku tertarik pada karya Bahruddin Bekri yang agak sinis dalam komedi gelap yang diterjemahkan dalam penulisan beliau. Benar kata kak NB, sekarang sukar untuk mencari penulis novel lelaki yang mampu mmbuatkan kita berfikir dengan karya mereka. Jika ada pun, penulis novel seram thriller trkenal, Ramlee Awang Mursyid yang sntiasa mnghidangkan sesuatu yg baru dlm penulisan beliau. Bagi penulis baru, karya Anuar Kamaruddin memikat hati aku. Perasaannya sama seperti mmbaca karya mentor beliau, iaitu kak NB, tapi, dengan cara dan stail yang berbeza. Rasanya selepas karya terbaru AK ni, aku pasti akan mnjadi penggemar setianya. 

Emm..aku benar-benar terasa seperti ingin membeli buku sekarang ini..




Friday, December 17, 2010

Aku dan belajar..

Salam. 

Asyik tertangguh entri ni. Banyak yang berlaku sejak dua minggu kebelakangan ni. Kadang kala macam tak cukup tanah nak berpijak, huhuhu..Mungkin di sebalik semua dugaan yang berlaku ni, akan ada hikmahnya yang belum lagi dapat aku singkap. Bnyak yang ingin aku kongsikan di sini, namun, rasanya hari ni aku cuma ingin bercerita tentang satu kisah sahaja. 

Baru-baru ni selepas melaporkan diri untuk bekerja, aku bertemu dengan Bos utama. Perkara yang setiap pkerja baru harus lakukan selepas memulakan tugas mereka di sini. Aku dah boleh mengagak apa yang akan keluar dari mulut Bos bila mana kami bertemu. "Bila awak mahu teruskan belajar lagi?". Ayat keramat dari seorang Bos yang amat kami hormati. Saat tu, ingin sahaja aku katakan kepadanya bahawa kalau lah boleh, sekarang juga aku mahu teruskan belajar. Tapi, bukan itu yang mampu aku jawab. Kata-kata keramat Bos bersambung lagi dengan ayat seterusnya iaitu; "Saya tak mahu awak teruskan dalam negara, cuba cari pelajaran di luar negara pulak.". Ayat itu memang sedap di telinga, dan pastinya sesiapa yg mndengarnya pasti teruja. Tetapi tidak bagi diriku. 

Aku punya sebab trsendiri kenapa aku tidak teruja untuk mneruskan sesi pmbelajaran di luar bumi Malaysia nan tercinta ini. BUKAN kerana aku tidak menginginkannya. Sungguh, aku terlalu mahu mnyambung pelajaran di luar. BUKAN kerana aku takut untuk hidup brsendirian dan brdikari di bumi asing. Itu bukan suatu yg luarbiasa, selama ini pun aku tak kisah jika disuruh brsendirian, serasanya jatidiri ini masih kukuh lagi waima di bumi asing sekalipun, insya Allah. CUMA, satu sebab yang terutama adalah aku masih punya tanggungjawab lain di sini. Sesuatu yang tidak harus aku tinggalkan. Jika mneruskan pmbelajaran di luar bumi Malaysia ini bererti meninggalkan tnggunjwab nan satu itu, aku lbih rela menimba ilmu di tanahair ku. Entahlah, aku tak ingin jika mndapat peluang utk belajar di luar, tetapi hati dibebani dgn rasa brsalah. 

Entah bgaimana aku mampu untuk berhadapan dengan Bos bagi mmbincangkan tentang hal ni. Dan, aku teramat pasti yg dia akan menentang keras apa yg mungkin aku katakan nti. "Katak di bawah tempurung" itu kata-katanya yg masih trngiang di telingaku di saat aku brtanya adakah boleh jika aku mnyambung di dalam negara sahaja. Aku gementar, itu sesuatu yg pasti. Tapi, aku juga pasti tntang suatu prkara. ALLAH sntiasa ada di sisi aku. Mungkin jalan NYA lbih baik dari yg aku jngkakan. Yang tidak baik di mataku, mungkin jua itulah yg terbaik di sisi NYA..

Thursday, December 9, 2010

Layar: Bab 7

BAB 7

Tingkap biliknya dibiarkan terbuka luas. Angin malam yang bertiup lembut, membuatkan hatinya tenang sekali. Bintang-bintang bertaburan yang menyinari dada langit, menambahkan lagi keindahan malam itu. Husna masih termangu di meja tulisnya. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. Ralit dia melihat bintang-bintang yang berkerdipan. Husna memang sukakan bintang. Entah mengapa, sejak kecil, sebelum tidur, Husna akan membuka tingkap biliknya, mendongak ke langit, dan melihat bintang. Ketika itu, Husna selalu terfikir untuk mencapai dan memetik semua bintang-bintang yang ada di langit. Dia ingin menyimpan kesemua bintang itu agar dapat menyinari bilik dan rumahnya. Husna tersenyum sendirian. Lucu pula bila dikenang kisah waktu kecilnya. Lama melihat bintang, Husna beralih pula pandangan ke meja tulisnya. Niatnya sebentar tadi mahu menulis diari. Namun, dek kerana terlalu asyik memandang bintang, Husna hampir terlupa pada buku yang terletak di atas mejanya itu. 
“Dah lama benar aku tidak menulis diari ini. Bila kali terakhir ya?”. Gumamnya sendiri. Perlahan Husna mencapai pen dan membuka sebuah buku tebal yang ada di hadapannya. Buku yang masih sama seperti 10 tahun dahulu. Sudah terlalu banyak kisah dan cerita yang telah dicoretkannya dalam buku tebal bernama ‘Layar’ itu. Bertahun-tahun buku itu menemaninya, hatta ketika dia memasuki universiti pun, buku itu juga yang dibawanya bersama. Malam itu, Husna ingin menulis tentang keputusan yang telah dibuatnya. Keputusannya untuk menyambung pelajaran.
12 Ogos. Abah dan ibu telah mengetahui tentang keputusan aku untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Master. Alhamdulillah, abah dan ibu nampak senang sekali dengan keputusan yang aku buat. Abang Haris dan Kak Humairah juga menyokong. Selepas ini, bermula lah kehidupan baru aku sebagai pelajar (sekali lagi) di Universiti Sains Malaysia. Dan, aku akan menjadi warga Pulau Pinang sekali lagi..hihihi..Aku berdoa agar segalanya dipermudahkan Allah. Moga-moga aku berjaya menamatkan pelajaran dan mengejar cita-cita ku sebagai pensyarah selepas ini, Insya Allah..
Husna meletakkan pennya. Dia tersenyum melihat catatannya itu. Husna masih ingat, suatu ketika dahulu, bukunya pernah hilang. Gawat dia mencarinya, dan apabila buku itu ditemui semula, pencuri sebenar buku itu akhirnya datang mengakui kesalahannya. Husna tidak mahu perkara yang sama berulang lagi, dan semenjak peristiwa itu, Husna sentiasa berhati-hati semasa menyimpan bukunya itu.
“Apa nama pencuri buku tu ya? Hish..dahlah curi buku orang, baca pulak tu. Tak pandai nak hormat hak peribadi orang langsung..”. Husna bersungut sendirian. Ish..biarkanlah, buat apa diingat kembali peristiwa lama tu. Lagipun, dia sendiri sudah melupakan nama dan rupa pencuri bukunya itu. Dan, kalau diberi peluang sekali lagi, Husna tidak ingin bertemu dengan orang yang telah mencuri ‘Layar’ itu. Husna menutup bukunya, membuka laci mejanya yang paling bawah dan menyimpan buku tersebut di dalam sebuah kotak berwarna coklat. Itulah tempat rahsia di mana Husna sentiasa menyimpan ‘Layar’. Tempat yang pada dirinya paling selamat dan tidak diketahui oleh sesiapa. Ketika Husna mahu menutup semula laci tersebut, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi nyaring. Dicapainya telefon yang berada di atas katil dan apabila melihat nama yang tertera di skrin, bibirnya menguntum senyum. Lama benar dia tidak mendengar suara orang yang menelefon ini.
“Assalamualaikum..”. Kedengaran suatu suara garau di hujung talian.
“Waalaikummussalam..Awak apa khabar?”. Husna membalas salam tersebut. Seperti biasa, dia akan bertanya khabar pada orang yang berada jauh beribu batu dari negara asalnya itu.
“Saya sihat. Husna macam mana? Sihat?”. Suara Ikmal sedikit serak. Sesekali dia terbatuk kecil. Berubah wajah Husna mendengar suaranya yang begitu.
“Awak tak sihat ke? Demam ya?”. Husna tidak menjawab pertanyaan Ikmal tadi, malah dia pula yang mengajukan soalan dengan nada yang agak risau. Ikmal ketawa kecil dengan suara yang masih serak tatkala mendengar pertanyaan Husna.
“Saya tidak apa-apa lah Husna. Terkena hujan lebat sewaktu pulang dari kelas tadi. Ini yang selesema sedikit..”. Ikmal membalas lembut. Husna selalu begitu, cepat sahaja dia mengesan perubahan suara Ikmal, walaupun mereka tidak bersua muka.
“Dah makan ubat?”. Husna yang masih belum berpuas hati dengan jawapan Ikmal, terus-terusan bertanya. Ikmal menggelengkan kepalanya, faham sangat dia dengan sikap Husna yang selalu mengambil berat tentang dirinya.
“Dah makan tadi..apa guna belajar bidang perubatan kalau tak tahu nak ubati diri sendiri..”. Kata-kata Ikmal mengundang ketawa Husna. Ikmal dikenalinya ketika mereka masih di sekolah menengah. Waktu itu, Husna dan Ikmal berada dalam kelas yang sama semasa di Tingkatan Lima. Ikmal adalah pelajar yang pintar, dan sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ketika mereka bersekolah dahulu. Tidak hairanlah selepas memperoleh kesemua A dalam mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia, Ikmal terus mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Dan, sekarang, Ikmal sedang berada di Royal College of Surgeons di Dublin, Ireland. Mungkin dalam masa setahun lagi, Ikmal bakal bergelar doktor.
“Yalah..tapi, doktor pun manusia juga kan? Takkan terlepas dari sakit, demam..”. Husna membalas kata-kata Ikmal. Dia tahu, Ikmal bakal menghadapi peperiksaan akhirnya tidak lama lagi dan kerana itu, Husna tidak mahu Ikmal terlalu tegang dengan keadaan tersebut.
“Iya lah cik Husna. Saya faham. Awak pula apa khabar?”. Husna menepuk dahinya, dan kemudian, ketawanya kembali. Lupa pula dia hendak menjawab pertanyaan pertama Ikmal tadi.
“Alhamdulillah, sihat, malah bertambah sihat..”. Husna membalas dalam ketawa yang masih bersisa. Ikmal juga ikut tergelak bersama. Dia terbayangkan wajah Husna. Gadis yang dikenalinya hampir 5 tahun dahulu. Gadis yang agak berisi, tetapi aktif bersukan itu. Husna yang suka ketawa dan banyak bercakap.
“Hah? Bertambah sihat? Awak biar betul, jangan bila saya balik Malaysia nanti, saya dah tak kenal dengan awak..”. Ketawa Ikmal masih bersambung. Sejujurnya, Ikmal amat menyenangi Husna. Meskipun Husna hanyalah seorang gadis biasa, sederhana dalam serba-serbi, namun, perwatakan gadis manis itu amat disukainya. Baginya, Husna seorang yang amat tegas dan gadis itu juga mudah untuk diajak berbual serta berbincang, walau dengan apa topik sekalipun.
“Biarlah kalau awak tak kenal saya pun..kan bagus, nanti bolehlah saya menyamar depan awak..”. Balas Husna selamba.
“Awak ni..ada sahaja jawapan pelik-pelik yang keluar dari mulut awak..hihihi..tak tercapai akal saya tau..”. Ikmal menggelengkan kepalanya, lucu bila mengenangkan Husna yang ingin menyamar di depannya. Bagaimana lah rupa Husna agaknya!
Yes..saya dah buat awak ketawa..! Saya cakap tu semua supaya awak cepat sembuh tau. Bukan kah ketawa itu ubat yang terbaik?”. Husna tersenyum. Memang itu tujuannya yang sebenar. Ikmal pasti sedang memikirkan tentang peperiksaan akhirnya, dan selalunya dalam keadaan begitu, Ikmal mudah diserang selesama dan demam. Mengenali Ikmal dalam tempoh yang agak lama, cukup membuatkan Husna masak dengan sikapnya.
“Aduhai Husna..awak ni kan, kalau tak buat saya gelak, tak sah tau. Terus hilang selesema saya ni..”. Akhirnya mereka tergelak bersama. Begitulah selalunya mukadimah perbualan mereka, sentiasa bermula dengan gelak ketawa.
“Husna macam mana sekarang? Jadi ke nak sambung belajar?”. Setelah ketawa mereka reda, Ikmal bertanyakan soalan buat Husna. Beberapa hari yang lalu, ketika mereka berhubung melalui e-mel, Husna ada memberitahunya tentang perkara tersebut. Ikmal sedikit kagum dengan semangat Husna yang masih berminat untuk mencari ilmu, sedangkan ramai antara sahabat-sahabat mereka yang sudah bergelar graduan, ingin cepat-cepat mencari pekerjaan dan melupakan terus bidang pelajaran. Tetapi, lain kisahnya dengan Husna. Baginya, proses pembelajaran adalah sesuatu yang berterusan, selagi ada peluang dan upaya untuk belajar, kenapa ia perlu dilepaskan.
“Insya Allah Ikmal..dalam dua minggu lagi, saya akan mendaftar sebagai pelajar Master. Dan, saya pun akan memohon untuk jadi RA nanti..”. Balas Husna tenang.
“RA? Apa tu?”, sedikit hairan Ikmal apabila mendengar Husna menyebut tentang perkara tersebut.
Research assistant lah Ikmal. Pembantu penyelidik kepada pensyarah. Nanti saya akan bekerja dengan pensyarah yang pernah kendalikan projek tahun akhir saya dahulu. So, dapatlah gaji sikit, untuk menampung pengajian..”. Husna menjelaskan satu-persatu kepada Ikmal.
“Oooh..macam tu. Saya ingatkan apa lah tadi..”. Ternganga sebentar Ikmal mendengar penjelasan daripada Husna. Kalaulah Husna dapat melihat riak wajahnya ketika ini, pasti melucukan, desisnya sendirian sambil tersenyum.
“Peperiksaan akhir awak tak lama lagi kan?”. Husna mula menukar topiknya kepada kisah Ikmal.
“Emm..dalam sebulan lebih sahaja lagi. Saya risaulah awak. Saya takut tak dapat buat dengan baik nanti..”. Suara Ikmal kedengaran begitu runsing. Sesekali dia mengeluh kecil. Tampaknya, Ikmal benar-benar khuatir untuk menghadapi peperiksaan akhirnya kali ini.
“Awak jangan patah semangat macam ni. Ini bukan peperiksaan pertama yang awak pernah hadapi. Awak pasti boleh buat, saya yakin dengan awak. Masa kan awak tidak yakin dengan diri sendiri?”. Husna faham, dalam keadaan sebegini, Ikmal amat memerlukan kata-kata dorongan dan semangat. Kata-kata yang mampu membuatkan dia yakin dengan kebolehan dirinya sendiri. Ikmal walaupun seorang yang pintar, namun, kadangkala mempunyai keyakinan diri yang agak rendah. Di sekolah dahulu, Ikmal jarang terlibat dengan mana-mana aktiviti ko-kurikulum, berbanding Husna yang aktif dalam pelbagai kegiatan.

“Ikmal, awak jangan risau. Awak telah berusaha, dan selebihnya, awak serahkan pada Allah, tawakal dengan apa jua keputusan. Saya sentiasa doakan kejayaan awak tau..”. Husna menyambung kata-kata perangsangnya apabila Ikmal masih lagi membisu di hujung talian. 
“Husna..terima kasih ya. Awak selalu beri saya semangat dan dorongan. Awak buat saya ketawa. Awak juga selalu doakan saya. Kalaulah mak saya masih ada, dia mesti gembira sebab saya ada kawan macam awak..”. Perlahan Ikmal membalas. Sayu hati Husna mendengarnya. Ibu Ikmal telah meninggal dunia ketika dia berusia 15 tahun akibat kanser. Kerana itu, Ikmal sering bertekad untuk menjadi seorang doktor bagi membantu mereka yang senasib dengan arwah ibunya.
“Husna..saya sayangkan awak..”. Berderau darah Husna mendengar kata-kata terakhir daripada Ikmal. Apa maksud Ikmal? Sayang bagaimana yang Ikmal maksudkan? Dan, Husna masih kebingungan memikirkan apa yang telah diucapkan oleh Ikmal pada dirinya. 

Monday, December 6, 2010

Permulaan aku..

Salam. 

Terasa seperti sudah hmpir berbulan mninggalkan blog ni. Sebenarnya bukanlah trlalu sibuk sangat pun, cuma kadang kala ksempatan untuk berehat sbentar dan duduk tenang untuk menulis di blog ini begitu susah utk aku lakukan. Hari ini barulah aku brpeluang untuk menulis dan mencoret kmbali di blog ini. Hari ini aku ingin bercerita tentang suatu prmulaan. Permulaan yg baru bg aku di tempat yg baru ini. Sebenarnya tmpat ini tidaklah bgitu baru bagi aku, malah bgitu dekat di hatiku. Di sini aku mnuntut ilmu, mngenali erti shabat, malah mngenali insan2 yg bgitu byk mmbantu malah mndoakan diriku. 
1 Dis lalu aku telah memulakan tugas di tmpat ini. Secara kasarnya aku telah dikira brkhidmat di sini sejak 2008, namun dek kerana cuti blajar, maka 2010 ini lah secara rasminya aku brtugas di sini. Ada yg brtnya pada aku, apa perasaannya bkerja di sini? Entahlah, aku sdiri tak pasti apa yg perlu aku rasakan. Gembira? Benar, terasa juga gembira dan senag hati, meskipun masih ada bbrpa perkara yg perlu dibereskan lagi. Namun, apa yg mmbuatkan aku terasa di saat aku mnjejakkan kaki kmbali ke sini adalah apakah aku mampu mlaksanakan tnggungjwb yg diamanahkan dgn baik? Apakah aku mampu utk menahan suasana 'politik' kerja yg mungkin brlaku? Apakah aku boleh brsabar dgn karenah pihak atasan mahupun gelagat plajar yg pelbagai ragam? Semuanya berlegar-legar di fikiranku tika itu, malah shingga kini pun. Serasanya trlalu byk yg akan aku hadapi, dan trkadang timbuk juga rasa takut untuk mnghadapinya. Namun, aku tahu, stiap yg akan brlaku adlh cbrn dan dugaan yg pastinya akan mmbuatkan aku lbih brsedia untuk mnghadapi dunia ini. 
Astaghfirullah..aku trlupa sbentar rupanya. Apapun pkerjaan yg kita lakukan, apapun yg kita hadapi, segalanya mesti bertunjangkan ALLAH..Hnya DIA yg akan menemani kita di saat sukar dan senang yg akan aku tempuh ini. Aku tahu, saat permulaan aku ini harus juga dmulakan dgn nama ALLAH YANG MULIA..Hnya pada DIA tmpat aku brgantung, dan hnya pada DIA aku serahkan sgalanya. Dan, aku pasti, selepas ini aku tdk lagi akan gentar untuk mnempuh permulaan yg baru ini. Insya ALLAH..

~ Mode: in UMT..~

Layar: Bab 6

Bab 6

Husna menatap gambar-gambar yang baru diterimanya sebentar tadi. Hampir dua minggu dia menunggu kehadiran gambar-gambar tersebut, dan hari ini, apabila bungkusan itu tiba, hatinya berbunga riang. Husna meneliti setiap keping gambar tersebut. Ada yang bersaiz besar, dan ada yang bersaiz biasa. Setiap satu darinya menceritakan detik-detik manis yang dialaminya. Husna gembira kerana dapat melalui saat-saat indah dan bermakna itu dalam suasana yang cukup menyenangkan, bersama keluarga tercinta dan teman-teman baiknya.

“Gambar konvo dah sampai ya dik?”. Haris yang masih bertuala mandi tiba-tiba muncul dan duduk bersila menghadap adiknya. Dia baru sahaja selesai mandi apabila melihat adiknya sedang berbaring, sambil membelek beberapa keping gambar. Husna mengerling sekilas. Berkerut wajah Husna melihat abangnya dalam keadaan begitu.
“Abang ngah ni, kalau ya pun, pergilah pakai baju dulu. Hish, tak malu ke dengan kucing kat bawah rumah tu?”. Husna cuba mengejek abangnya. Dia masih berbaring di ruang tamu sambil tersenyum sendirian melihat gambar dirinya sendiri.
“Eiii..budak kecil nih. Tak nampak ke abang tutup badan dengan tuala nih..tak nampak ke abang pakai kain pelikat nih..haa..nak kena ngan abang ya..”, pantas tangan Haris mencubit pipi Husna. Terjerit kecil Husna dengan tindakan Haris. Dia menggosok-gosok pipinya yang gebu. Husna bingkas bangun dan turut duduk bersila di hadapan abangnya. Ketawa besar Haris melihat adiknya memuncung.
“Abang jahat tau. Sakit pipi comel Husna ni. Kalau lebam lepas ni, siap abang tau..”. Husna pura-pura merajuk sambil menjeling ke arah Haris.
“Alah, setakat cubit sikit, takkanlah lebamlah adik. Nanti abang letak ubat ya dik.”. Haris mengusap-usap kepala adiknya. Haris memang kuat mengusik Husna, apatah lagi, itulah satu-satunya adik yang dia ada. Ketika mereka masih kecil dulu, Husna selalu sahaja menangis kerana sering disakat olehnya, namun, kini, Husna makin lali dengan gurauan kasar abangnya.
“Abang tu lah..dah pukul 11 lebih baru nak mandi. Kucing pun boleh bangun awal tau..”, Husna masih memuncung. Haris pulang ke kampung semalam. Katanya, dia mengambil cuti selama dua hari. Penat dengan bebanan kerjanya sebagai seorang pegawai bank, Haris fikir, ada baiknya dia berehat sebentar daripada segala kesibukan itu. Pagi tadi selepas solat Subuh, Haris menyambung tidurnya semula. Sangkanya dia cuma ingin melelapkan mata selama sejam dua, tetapi, terbabas hingga ke pukul 11.
“Yalah, yalah...abang minta maaf lah adik..sakit lagi pipi tu? Husna ni kan, kuat membebel tahu, macam mak nenek..hihihi..”. Haris masih ingin mengusik adiknya. Buntang mata Husna mendengar kata-kata abangnya. ‘Tak habis-habis lagi abang ni tau..’, sungutnya di dalam hati.
“Macam mak ke macam nenek?”. Husna membalas sinis sambil matanya masih melekat pada gambar-gambar yang berselerak di atas meja tamu.
Haris ketawa besar. Aduhai Husna, ada sahaja jawapan yang keluar dari mulutnya. Macam-macam jawapan kreatif yang muncul dari bibirnya.
“Hahahaha..adoilah Husna. Abang bukan apa dik..Husna tahu tak, perempuan, kalau kuat membebel, tambah pula dengan cerewet, lelaki seram nak dekat tahu..hihihi..”. Haris mencuit hidung adiknya. Husna mencebirkan bibir ke arah abangnya. Pandai-pandai sahaja abang buat kenyataan sebegitu. Walaupun Husna tahu, Haris sekadar mengusiknya, namun, dia masih tidak berpuas hati dengan kata-kata abangnya itu.
“Abang mana tahu..abang, kalau perempuan tu kuat membebel dan cerewet, maknanya, kami kaum yang penyayang dan prihatin tau. Haa..kalau tiada bebelan dari perempuan yang cerewet macam adik abang ni, macam mana lelaki tahu nak jaga diri sendiri..betul tak?”. Sanggah Husna, masih belum mahu mengalah. Haris tersenyum sendiri mendengar jawapan Husna. Kalau tak menjawab, tak sah!
“Yalah..yalah..kali ini abang bagi Husna menang..” Haris sudah mengangkat bendera putih dengan adiknya. Husna tersengih lebar, tanda berpuas hati dengan ‘kemenangannya’ kali ini.
“Eh, Husna bila nak cari kerja ni? Dah lama tanam anggur kat rumah, kalau ada hasil tak apalah jugak, ini, abang nak tengok pokok anggur pun tak nampak..hihihi..” Haris kini sudah mengambil tempat di atas sofa sambil tangannya mencapai beberapa keping gambar. Husna memuncungkan bibirnya. Bosan asyik ditebak dengan soalan yang sama. Husna sebenarnya sudah mempunyai perancangannya yang tersendiri dan dia hanya menunggu waktu yang sesuai untuk memaklumkan semua kepada abah dan ibunya. Setelah menamatkan pengajiannya di universiti dalam bidang teknologi makanan kira-kira 4 bulan lalu, Husna memohon untuk menjadi guru sandaran sementara menunggu majlis konvokesyennya. Nasibnya baik kerana ada sebuah sekolah rendah di Pekan Serom tersebut memerlukan seorang guru matapelajaran Bahasa Inggeris. Jadi, selama hampir 2 bulan, Husna bergelar guru tidak terlatih dan dia sememangnya seronok dengan pekerjaan barunya itu.
“Husna tak mahu cari kerja dahulu lah abang..”
“Dah tu? Husna nak duduk saja di rumah? Tunggu pinangan orang?”. Laju sahaja mulut Haris mencelah sebelum Husna sempat menghabiskan ayatnya. Haris ketawa-ketawa sahaja melihat muka Husna yang sudah mula mencuka. Usikannya mengena lagi!
“Abanglah kahwin dulu..kenapa nak babitkan Husna..”. Husna malas mahu melayan kata-kata Haris. Baginya, bukan itu perkara utama yang ingin dilakukannya saat ini. Dia masih punyai banyak rencana dan perancangan yang ingin dilakukan untuk masa depannya. Dan, Husna sudah membuat keputusan yang pasti tentang segalanya.
“Husna nak sambung belajar lagi lah abang. Husna ada bertanya pada pensyarah Husna, dan dia cakap, dia memang sedang cari student Master..”. Husna menjelaskan sambil tangannya masih menyusun semua gambar di dalam album. Haris masih lagi mendengar setiap bicara adiknya itu. Haris amat memahami sikap Husna. Dari kecil hingga dewasa, setiap keputusan yang dibuat Husna adalah dengan kehendaknya sendiri. Tanpa ada paksaan atau desakan dari sesiapa. Husna amat tegas dengan setiap tindakan yang diambilnya, namun, Husna juga mudah menerima pendapat daripada orang lain seandainya apa yang dilakukannya adalah bertentangan dengan apa yang sepatutnya.
“Husna akan memohon untuk menjadi pembantu penyelidik pada pensyarah Husna tu. Jadi, nanti Husna akan dapat gaji. Dengan duit gaji itu, Husna bolehlah buat biaya untuk pengajian nanti, tak adalah nak susahkan abah dengan ibu lagi..”. Husna sudah berfikir dengan semasak-masaknya. Di samping melanjutkan pengajiannya, Husna mahu menimba pengalaman bekerja. Dan, rasanya ini adalah pilihan terbaik, bekerja sambil belajar. Dia sedar, cabarannya mungkin lebih banyak, tapi, pengalaman yang diperoleh adalah tidak ternilai, dan itulah yang diinginkannya.
“Siapa kata Husna menyusahkan abah dan ibu?”. Suara yang kedengaran dari muka pintu rumah mereka menyebabkan Husna dan Haris terkasima seketika. Entah bila Cikgu Hamzah dan Cikgu Saadah sampai ke rumah, mereka juga tidak pasti. Agaknya dek terlalu leka berbual, Husna dan Haris tidak perasan dengan kehadiran abah dan ibu mereka. Awal pagi tadi, Cikgu Hamzah bersama isterinya ke rumah seorang kenalan mereka di Bukit Gambir. Ada majlis kesyukuran sempena kelahiran cucu sulung sahabatnya itu. Cikgu Hamzah melabuhkan punggungnya di atas sofa, bersebelahan dengan Haris yang masih bertuala. Cikgu Saadah pula telah menghilang di dapur, meninggalkan tiga anak-beranak itu. Cikgu Hamzah merenung Husna yang masih menundukkan wajahnya. Dia telah mendengar segala perbualan Husna bersama abangnya sebentar tadi.
“Siapa cakap Husna susahkan abah dan ibu?”. Cikgu Hamzah mengulangi kembali kata-katanya tadi. Lembut sahaja ia kedengaran di telinga Husna, namun, ada sedikit nada kesal di situ. Haris hanya membisu tanpa sepatah kata.  
“Husna minta maaf abah, kalau kata-kata Husna tadi buat abah kecil hati..”. Terbit rasa bersalah di hati Husna. Dia sebenarnya tidak bermaksud begitu, mungkin abah tersilap tafsir dengan kata-katanya sebentar tadi. Ditatapnya wajah Cikgu Hamzah. Wajah yang sentiasa menenangkan dirinya.
“Husna nak sambung belajar lagi ya?”. Cikgu Hamzah menyandarkan tubuhnya pada sofa. Melihat Husna yang kelihatan sedikit serba salah, Cikgu Hamzah tersenyum. Husna menganggukkan kepalanya. Lega hatinya melihat senyuman yang terukir di bibir Cikgu Hamzah.
“Husna nak sambung Master, abah. Husna akan memohon untuk jadi pembantu penyelidik di universiti nanti. Selain belajar, bolehlah Husna dapat pengalaman..”. Husna menyambung bicaranya semula. Dipandangnya Cikgu Hamzah dan Haris bersilih ganti. Dua orang lelaki yang amat dikasihinya. Kedua-dua lelaki yang telah banyak memberinya semangat dan dorongan dalam apa jua yang dilakukannya, selain ibu dan kakaknya.
“Kenapa Husna nak kerja? Takut susahkan abah dan ibu?”. Sekali lagi Cikgu Hamzah mengutarakan persoalan yang sama. Kelu lidah Husna mahu menjawabnya.
“Tapi, abah takkan halang kalau itu yang Husna mahukan. Kalau itu yang terbaik buat Husna, itu jugalah yang terbaik buat abah..”. Ayat terakhir Cikgu Hamzah membuatkan Husna tersenyum lebar. Pantas Husna bangun dan duduk di antara abah dan abangnya.
“Eh..apa hal pula ni? Banyak lagi tempat kosong tu, apa pasal Husna nak duduk sini pula? Sempitlah adik!”. Haris pura-pura menolak adiknya ke sisi.
“Biarlah..Husna nak duduk sini juga..”. Balas Husna selamba. Cikgu Saadah yang baru menyertai mereka di ruang tamu hanya tergelak melihat tingkah adik dan abang itu.       
“Okey..okey..Husna duduklah sini..Tak habis-habis nak berkepit dengan abah. Manja!  Abang nak pergi pakai baju lah. Malas dah nak layan adik..”. Haris bangun dan sebelum berlalu, dia sempat menarik rambut Husna yang panjang. Sekali lagi Husna menjerit kecil dengan tindakan abangnya yang tidak disangka. Pantas tangan Husna mencapai sebuah kusyen, lalu dilemparkan ke arah Haris. Menggelegak ketawa Haris apabila sasaran Husna tidak mengena. 

~ Bersambung,,~