Husna menatap gambar-gambar yang baru diterimanya sebentar tadi. Hampir dua minggu dia menunggu kehadiran gambar-gambar tersebut, dan hari ini, apabila bungkusan itu tiba, hatinya berbunga riang. Husna meneliti setiap keping gambar tersebut. Ada yang bersaiz besar, dan ada yang bersaiz biasa. Setiap satu darinya menceritakan detik-detik manis yang dialaminya. Husna gembira kerana dapat melalui saat-saat indah dan bermakna itu dalam suasana yang cukup menyenangkan, bersama keluarga tercinta dan teman-teman baiknya.
“Gambar konvo dah sampai ya dik?”. Haris yang masih bertuala mandi tiba-tiba muncul dan duduk bersila menghadap adiknya. Dia baru sahaja selesai mandi apabila melihat adiknya sedang berbaring, sambil membelek beberapa keping gambar. Husna mengerling sekilas. Berkerut wajah Husna melihat abangnya dalam keadaan begitu.
“Abang ngah ni, kalau ya pun, pergilah pakai baju dulu. Hish, tak malu ke dengan kucing kat bawah rumah tu?”. Husna cuba mengejek abangnya. Dia masih berbaring di ruang tamu sambil tersenyum sendirian melihat gambar dirinya sendiri.
“Eiii..budak kecil nih. Tak nampak ke abang tutup badan dengan tuala nih..tak nampak ke abang pakai kain pelikat nih..haa..nak kena ngan abang ya..”, pantas tangan Haris mencubit pipi Husna. Terjerit kecil Husna dengan tindakan Haris. Dia menggosok-gosok pipinya yang gebu. Husna bingkas bangun dan turut duduk bersila di hadapan abangnya. Ketawa besar Haris melihat adiknya memuncung.
“Abang jahat tau. Sakit pipi comel Husna ni. Kalau lebam lepas ni, siap abang tau..”. Husna pura-pura merajuk sambil menjeling ke arah Haris.
“Alah, setakat cubit sikit, takkanlah lebamlah adik. Nanti abang letak ubat ya dik.”. Haris mengusap-usap kepala adiknya. Haris memang kuat mengusik Husna, apatah lagi, itulah satu-satunya adik yang dia ada. Ketika mereka masih kecil dulu, Husna selalu sahaja menangis kerana sering disakat olehnya, namun, kini, Husna makin lali dengan gurauan kasar abangnya.
“Abang tu lah..dah pukul 11 lebih baru nak mandi. Kucing pun boleh bangun awal tau..”, Husna masih memuncung. Haris pulang ke kampung semalam. Katanya, dia mengambil cuti selama dua hari. Penat dengan bebanan kerjanya sebagai seorang pegawai bank, Haris fikir, ada baiknya dia berehat sebentar daripada segala kesibukan itu. Pagi tadi selepas solat Subuh, Haris menyambung tidurnya semula. Sangkanya dia cuma ingin melelapkan mata selama sejam dua, tetapi, terbabas hingga ke pukul 11.
“Yalah, yalah...abang minta maaf lah adik..sakit lagi pipi tu? Husna ni kan, kuat membebel tahu, macam mak nenek..hihihi..”. Haris masih ingin mengusik adiknya. Buntang mata Husna mendengar kata-kata abangnya. ‘Tak habis-habis lagi abang ni tau..’, sungutnya di dalam hati.
“Macam mak ke macam nenek?”. Husna membalas sinis sambil matanya masih melekat pada gambar-gambar yang berselerak di atas meja tamu.
Haris ketawa besar. Aduhai Husna, ada sahaja jawapan yang keluar dari mulutnya. Macam-macam jawapan kreatif yang muncul dari bibirnya.
“Hahahaha..adoilah Husna. Abang bukan apa dik..Husna tahu tak, perempuan, kalau kuat membebel, tambah pula dengan cerewet, lelaki seram nak dekat tahu..hihihi..”. Haris mencuit hidung adiknya. Husna mencebirkan bibir ke arah abangnya. Pandai-pandai sahaja abang buat kenyataan sebegitu. Walaupun Husna tahu, Haris sekadar mengusiknya, namun, dia masih tidak berpuas hati dengan kata-kata abangnya itu.
“Abang mana tahu..abang, kalau perempuan tu kuat membebel dan cerewet, maknanya, kami kaum yang penyayang dan prihatin tau. Haa..kalau tiada bebelan dari perempuan yang cerewet macam adik abang ni, macam mana lelaki tahu nak jaga diri sendiri..betul tak?”. Sanggah Husna, masih belum mahu mengalah. Haris tersenyum sendiri mendengar jawapan Husna. Kalau tak menjawab, tak sah!
“Yalah..yalah..kali ini abang bagi Husna menang..” Haris sudah mengangkat bendera putih dengan adiknya. Husna tersengih lebar, tanda berpuas hati dengan ‘kemenangannya’ kali ini.
“Eh, Husna bila nak cari kerja ni? Dah lama tanam anggur kat rumah, kalau ada hasil tak apalah jugak, ini, abang nak tengok pokok anggur pun tak nampak..hihihi..” Haris kini sudah mengambil tempat di atas sofa sambil tangannya mencapai beberapa keping gambar. Husna memuncungkan bibirnya. Bosan asyik ditebak dengan soalan yang sama. Husna sebenarnya sudah mempunyai perancangannya yang tersendiri dan dia hanya menunggu waktu yang sesuai untuk memaklumkan semua kepada abah dan ibunya. Setelah menamatkan pengajiannya di universiti dalam bidang teknologi makanan kira-kira 4 bulan lalu, Husna memohon untuk menjadi guru sandaran sementara menunggu majlis konvokesyennya. Nasibnya baik kerana ada sebuah sekolah rendah di Pekan Serom tersebut memerlukan seorang guru matapelajaran Bahasa Inggeris. Jadi, selama hampir 2 bulan, Husna bergelar guru tidak terlatih dan dia sememangnya seronok dengan pekerjaan barunya itu.
“Husna tak mahu cari kerja dahulu lah abang..”
“Dah tu? Husna nak duduk saja di rumah? Tunggu pinangan orang?”. Laju sahaja mulut Haris mencelah sebelum Husna sempat menghabiskan ayatnya. Haris ketawa-ketawa sahaja melihat muka Husna yang sudah mula mencuka. Usikannya mengena lagi!
“Abanglah kahwin dulu..kenapa nak babitkan Husna..”. Husna malas mahu melayan kata-kata Haris. Baginya, bukan itu perkara utama yang ingin dilakukannya saat ini. Dia masih punyai banyak rencana dan perancangan yang ingin dilakukan untuk masa depannya. Dan, Husna sudah membuat keputusan yang pasti tentang segalanya.
“Husna nak sambung belajar lagi lah abang. Husna ada bertanya pada pensyarah Husna, dan dia cakap, dia memang sedang cari student Master..”. Husna menjelaskan sambil tangannya masih menyusun semua gambar di dalam album. Haris masih lagi mendengar setiap bicara adiknya itu. Haris amat memahami sikap Husna. Dari kecil hingga dewasa, setiap keputusan yang dibuat Husna adalah dengan kehendaknya sendiri. Tanpa ada paksaan atau desakan dari sesiapa. Husna amat tegas dengan setiap tindakan yang diambilnya, namun, Husna juga mudah menerima pendapat daripada orang lain seandainya apa yang dilakukannya adalah bertentangan dengan apa yang sepatutnya.
“Husna akan memohon untuk menjadi pembantu penyelidik pada pensyarah Husna tu. Jadi, nanti Husna akan dapat gaji. Dengan duit gaji itu, Husna bolehlah buat biaya untuk pengajian nanti, tak adalah nak susahkan abah dengan ibu lagi..”. Husna sudah berfikir dengan semasak-masaknya. Di samping melanjutkan pengajiannya, Husna mahu menimba pengalaman bekerja. Dan, rasanya ini adalah pilihan terbaik, bekerja sambil belajar. Dia sedar, cabarannya mungkin lebih banyak, tapi, pengalaman yang diperoleh adalah tidak ternilai, dan itulah yang diinginkannya.
“Siapa kata Husna menyusahkan abah dan ibu?”. Suara yang kedengaran dari muka pintu rumah mereka menyebabkan Husna dan Haris terkasima seketika. Entah bila Cikgu Hamzah dan Cikgu Saadah sampai ke rumah, mereka juga tidak pasti. Agaknya dek terlalu leka berbual, Husna dan Haris tidak perasan dengan kehadiran abah dan ibu mereka. Awal pagi tadi, Cikgu Hamzah bersama isterinya ke rumah seorang kenalan mereka di Bukit Gambir. Ada majlis kesyukuran sempena kelahiran cucu sulung sahabatnya itu. Cikgu Hamzah melabuhkan punggungnya di atas sofa, bersebelahan dengan Haris yang masih bertuala. Cikgu Saadah pula telah menghilang di dapur, meninggalkan tiga anak-beranak itu. Cikgu Hamzah merenung Husna yang masih menundukkan wajahnya. Dia telah mendengar segala perbualan Husna bersama abangnya sebentar tadi.
“Siapa cakap Husna susahkan abah dan ibu?”. Cikgu Hamzah mengulangi kembali kata-katanya tadi. Lembut sahaja ia kedengaran di telinga Husna, namun, ada sedikit nada kesal di situ. Haris hanya membisu tanpa sepatah kata.
“Husna minta maaf abah, kalau kata-kata Husna tadi buat abah kecil hati..”. Terbit rasa bersalah di hati Husna. Dia sebenarnya tidak bermaksud begitu, mungkin abah tersilap tafsir dengan kata-katanya sebentar tadi. Ditatapnya wajah Cikgu Hamzah. Wajah yang sentiasa menenangkan dirinya.
“Husna nak sambung belajar lagi ya?”. Cikgu Hamzah menyandarkan tubuhnya pada sofa. Melihat Husna yang kelihatan sedikit serba salah, Cikgu Hamzah tersenyum. Husna menganggukkan kepalanya. Lega hatinya melihat senyuman yang terukir di bibir Cikgu Hamzah.
“Husna nak sambung Master, abah. Husna akan memohon untuk jadi pembantu penyelidik di universiti nanti. Selain belajar, bolehlah Husna dapat pengalaman..”. Husna menyambung bicaranya semula. Dipandangnya Cikgu Hamzah dan Haris bersilih ganti. Dua orang lelaki yang amat dikasihinya. Kedua-dua lelaki yang telah banyak memberinya semangat dan dorongan dalam apa jua yang dilakukannya, selain ibu dan kakaknya.
“Kenapa Husna nak kerja? Takut susahkan abah dan ibu?”. Sekali lagi Cikgu Hamzah mengutarakan persoalan yang sama. Kelu lidah Husna mahu menjawabnya.
“Tapi, abah takkan halang kalau itu yang Husna mahukan. Kalau itu yang terbaik buat Husna, itu jugalah yang terbaik buat abah..”. Ayat terakhir Cikgu Hamzah membuatkan Husna tersenyum lebar. Pantas Husna bangun dan duduk di antara abah dan abangnya.
“Eh..apa hal pula ni? Banyak lagi tempat kosong tu, apa pasal Husna nak duduk sini pula? Sempitlah adik!”. Haris pura-pura menolak adiknya ke sisi.
“Biarlah..Husna nak duduk sini juga..”. Balas Husna selamba. Cikgu Saadah yang baru menyertai mereka di ruang tamu hanya tergelak melihat tingkah adik dan abang itu.
“Okey..okey..Husna duduklah sini..Tak habis-habis nak berkepit dengan abah. Manja! Abang nak pergi pakai baju lah. Malas dah nak layan adik..”. Haris bangun dan sebelum berlalu, dia sempat menarik rambut Husna yang panjang. Sekali lagi Husna menjerit kecil dengan tindakan abangnya yang tidak disangka. Pantas tangan Husna mencapai sebuah kusyen, lalu dilemparkan ke arah Haris. Menggelegak ketawa Haris apabila sasaran Husna tidak mengena.
~ Bersambung,,~
No comments:
Post a Comment