BAB 7
Tingkap biliknya dibiarkan terbuka luas. Angin malam yang bertiup lembut, membuatkan hatinya tenang sekali. Bintang-bintang bertaburan yang menyinari dada langit, menambahkan lagi keindahan malam itu. Husna masih termangu di meja tulisnya. Pandangannya dilemparkan ke luar tingkap. Ralit dia melihat bintang-bintang yang berkerdipan. Husna memang sukakan bintang. Entah mengapa, sejak kecil, sebelum tidur, Husna akan membuka tingkap biliknya, mendongak ke langit, dan melihat bintang. Ketika itu, Husna selalu terfikir untuk mencapai dan memetik semua bintang-bintang yang ada di langit. Dia ingin menyimpan kesemua bintang itu agar dapat menyinari bilik dan rumahnya. Husna tersenyum sendirian. Lucu pula bila dikenang kisah waktu kecilnya. Lama melihat bintang, Husna beralih pula pandangan ke meja tulisnya. Niatnya sebentar tadi mahu menulis diari. Namun, dek kerana terlalu asyik memandang bintang, Husna hampir terlupa pada buku yang terletak di atas mejanya itu.
“Dah lama benar aku tidak menulis diari ini. Bila kali terakhir ya?”. Gumamnya sendiri. Perlahan Husna mencapai pen dan membuka sebuah buku tebal yang ada di hadapannya. Buku yang masih sama seperti 10 tahun dahulu. Sudah terlalu banyak kisah dan cerita yang telah dicoretkannya dalam buku tebal bernama ‘Layar’ itu. Bertahun-tahun buku itu menemaninya, hatta ketika dia memasuki universiti pun, buku itu juga yang dibawanya bersama. Malam itu, Husna ingin menulis tentang keputusan yang telah dibuatnya. Keputusannya untuk menyambung pelajaran.
“12 Ogos. Abah dan ibu telah mengetahui tentang keputusan aku untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Master. Alhamdulillah, abah dan ibu nampak senang sekali dengan keputusan yang aku buat. Abang Haris dan Kak Humairah juga menyokong. Selepas ini, bermula lah kehidupan baru aku sebagai pelajar (sekali lagi) di Universiti Sains Malaysia. Dan, aku akan menjadi warga Pulau Pinang sekali lagi..hihihi..Aku berdoa agar segalanya dipermudahkan Allah. Moga-moga aku berjaya menamatkan pelajaran dan mengejar cita-cita ku sebagai pensyarah selepas ini, Insya Allah..”
Husna meletakkan pennya. Dia tersenyum melihat catatannya itu. Husna masih ingat, suatu ketika dahulu, bukunya pernah hilang. Gawat dia mencarinya, dan apabila buku itu ditemui semula, pencuri sebenar buku itu akhirnya datang mengakui kesalahannya. Husna tidak mahu perkara yang sama berulang lagi, dan semenjak peristiwa itu, Husna sentiasa berhati-hati semasa menyimpan bukunya itu.
“Apa nama pencuri buku tu ya? Hish..dahlah curi buku orang, baca pulak tu. Tak pandai nak hormat hak peribadi orang langsung..”. Husna bersungut sendirian. Ish..biarkanlah, buat apa diingat kembali peristiwa lama tu. Lagipun, dia sendiri sudah melupakan nama dan rupa pencuri bukunya itu. Dan, kalau diberi peluang sekali lagi, Husna tidak ingin bertemu dengan orang yang telah mencuri ‘Layar’ itu. Husna menutup bukunya, membuka laci mejanya yang paling bawah dan menyimpan buku tersebut di dalam sebuah kotak berwarna coklat. Itulah tempat rahsia di mana Husna sentiasa menyimpan ‘Layar’. Tempat yang pada dirinya paling selamat dan tidak diketahui oleh sesiapa. Ketika Husna mahu menutup semula laci tersebut, telefon bimbitnya tiba-tiba berbunyi nyaring. Dicapainya telefon yang berada di atas katil dan apabila melihat nama yang tertera di skrin, bibirnya menguntum senyum. Lama benar dia tidak mendengar suara orang yang menelefon ini.
“Assalamualaikum..”. Kedengaran suatu suara garau di hujung talian.
“Waalaikummussalam..Awak apa khabar?”. Husna membalas salam tersebut. Seperti biasa, dia akan bertanya khabar pada orang yang berada jauh beribu batu dari negara asalnya itu.
“Saya sihat. Husna macam mana? Sihat?”. Suara Ikmal sedikit serak. Sesekali dia terbatuk kecil. Berubah wajah Husna mendengar suaranya yang begitu.
“Awak tak sihat ke? Demam ya?”. Husna tidak menjawab pertanyaan Ikmal tadi, malah dia pula yang mengajukan soalan dengan nada yang agak risau. Ikmal ketawa kecil dengan suara yang masih serak tatkala mendengar pertanyaan Husna.
“Saya tidak apa-apa lah Husna. Terkena hujan lebat sewaktu pulang dari kelas tadi. Ini yang selesema sedikit..”. Ikmal membalas lembut. Husna selalu begitu, cepat sahaja dia mengesan perubahan suara Ikmal, walaupun mereka tidak bersua muka.
“Dah makan ubat?”. Husna yang masih belum berpuas hati dengan jawapan Ikmal, terus-terusan bertanya. Ikmal menggelengkan kepalanya, faham sangat dia dengan sikap Husna yang selalu mengambil berat tentang dirinya.
“Dah makan tadi..apa guna belajar bidang perubatan kalau tak tahu nak ubati diri sendiri..”. Kata-kata Ikmal mengundang ketawa Husna. Ikmal dikenalinya ketika mereka masih di sekolah menengah. Waktu itu, Husna dan Ikmal berada dalam kelas yang sama semasa di Tingkatan Lima. Ikmal adalah pelajar yang pintar, dan sentiasa mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan ketika mereka bersekolah dahulu. Tidak hairanlah selepas memperoleh kesemua A dalam mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia, Ikmal terus mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Dan, sekarang, Ikmal sedang berada di Royal College of Surgeons di Dublin, Ireland. Mungkin dalam masa setahun lagi, Ikmal bakal bergelar doktor.
“Yalah..tapi, doktor pun manusia juga kan? Takkan terlepas dari sakit, demam..”. Husna membalas kata-kata Ikmal. Dia tahu, Ikmal bakal menghadapi peperiksaan akhirnya tidak lama lagi dan kerana itu, Husna tidak mahu Ikmal terlalu tegang dengan keadaan tersebut.
“Iya lah cik Husna. Saya faham. Awak pula apa khabar?”. Husna menepuk dahinya, dan kemudian, ketawanya kembali. Lupa pula dia hendak menjawab pertanyaan pertama Ikmal tadi.
“Alhamdulillah, sihat, malah bertambah sihat..”. Husna membalas dalam ketawa yang masih bersisa. Ikmal juga ikut tergelak bersama. Dia terbayangkan wajah Husna. Gadis yang dikenalinya hampir 5 tahun dahulu. Gadis yang agak berisi, tetapi aktif bersukan itu. Husna yang suka ketawa dan banyak bercakap.
“Hah? Bertambah sihat? Awak biar betul, jangan bila saya balik Malaysia nanti, saya dah tak kenal dengan awak..”. Ketawa Ikmal masih bersambung. Sejujurnya, Ikmal amat menyenangi Husna. Meskipun Husna hanyalah seorang gadis biasa, sederhana dalam serba-serbi, namun, perwatakan gadis manis itu amat disukainya. Baginya, Husna seorang yang amat tegas dan gadis itu juga mudah untuk diajak berbual serta berbincang, walau dengan apa topik sekalipun.
“Biarlah kalau awak tak kenal saya pun..kan bagus, nanti bolehlah saya menyamar depan awak..”. Balas Husna selamba.
“Awak ni..ada sahaja jawapan pelik-pelik yang keluar dari mulut awak..hihihi..tak tercapai akal saya tau..”. Ikmal menggelengkan kepalanya, lucu bila mengenangkan Husna yang ingin menyamar di depannya. Bagaimana lah rupa Husna agaknya!
“Yes..saya dah buat awak ketawa..! Saya cakap tu semua supaya awak cepat sembuh tau. Bukan kah ketawa itu ubat yang terbaik?”. Husna tersenyum. Memang itu tujuannya yang sebenar. Ikmal pasti sedang memikirkan tentang peperiksaan akhirnya, dan selalunya dalam keadaan begitu, Ikmal mudah diserang selesama dan demam. Mengenali Ikmal dalam tempoh yang agak lama, cukup membuatkan Husna masak dengan sikapnya.
“Aduhai Husna..awak ni kan, kalau tak buat saya gelak, tak sah tau. Terus hilang selesema saya ni..”. Akhirnya mereka tergelak bersama. Begitulah selalunya mukadimah perbualan mereka, sentiasa bermula dengan gelak ketawa.
“Husna macam mana sekarang? Jadi ke nak sambung belajar?”. Setelah ketawa mereka reda, Ikmal bertanyakan soalan buat Husna. Beberapa hari yang lalu, ketika mereka berhubung melalui e-mel, Husna ada memberitahunya tentang perkara tersebut. Ikmal sedikit kagum dengan semangat Husna yang masih berminat untuk mencari ilmu, sedangkan ramai antara sahabat-sahabat mereka yang sudah bergelar graduan, ingin cepat-cepat mencari pekerjaan dan melupakan terus bidang pelajaran. Tetapi, lain kisahnya dengan Husna. Baginya, proses pembelajaran adalah sesuatu yang berterusan, selagi ada peluang dan upaya untuk belajar, kenapa ia perlu dilepaskan.
“Insya Allah Ikmal..dalam dua minggu lagi, saya akan mendaftar sebagai pelajar Master. Dan, saya pun akan memohon untuk jadi RA nanti..”. Balas Husna tenang.
“RA? Apa tu?”, sedikit hairan Ikmal apabila mendengar Husna menyebut tentang perkara tersebut.
“Research assistant lah Ikmal. Pembantu penyelidik kepada pensyarah. Nanti saya akan bekerja dengan pensyarah yang pernah kendalikan projek tahun akhir saya dahulu. So, dapatlah gaji sikit, untuk menampung pengajian..”. Husna menjelaskan satu-persatu kepada Ikmal.
“Oooh..macam tu. Saya ingatkan apa lah tadi..”. Ternganga sebentar Ikmal mendengar penjelasan daripada Husna. Kalaulah Husna dapat melihat riak wajahnya ketika ini, pasti melucukan, desisnya sendirian sambil tersenyum.
“Peperiksaan akhir awak tak lama lagi kan?”. Husna mula menukar topiknya kepada kisah Ikmal.
“Emm..dalam sebulan lebih sahaja lagi. Saya risaulah awak. Saya takut tak dapat buat dengan baik nanti..”. Suara Ikmal kedengaran begitu runsing. Sesekali dia mengeluh kecil. Tampaknya, Ikmal benar-benar khuatir untuk menghadapi peperiksaan akhirnya kali ini.
“Awak jangan patah semangat macam ni. Ini bukan peperiksaan pertama yang awak pernah hadapi. Awak pasti boleh buat, saya yakin dengan awak. Masa kan awak tidak yakin dengan diri sendiri?”. Husna faham, dalam keadaan sebegini, Ikmal amat memerlukan kata-kata dorongan dan semangat. Kata-kata yang mampu membuatkan dia yakin dengan kebolehan dirinya sendiri. Ikmal walaupun seorang yang pintar, namun, kadangkala mempunyai keyakinan diri yang agak rendah. Di sekolah dahulu, Ikmal jarang terlibat dengan mana-mana aktiviti ko-kurikulum, berbanding Husna yang aktif dalam pelbagai kegiatan.
“Ikmal, awak jangan risau. Awak telah berusaha, dan selebihnya, awak serahkan pada Allah, tawakal dengan apa jua keputusan. Saya sentiasa doakan kejayaan awak tau..”. Husna menyambung kata-kata perangsangnya apabila Ikmal masih lagi membisu di hujung talian.
“Husna..terima kasih ya. Awak selalu beri saya semangat dan dorongan. Awak buat saya ketawa. Awak juga selalu doakan saya. Kalaulah mak saya masih ada, dia mesti gembira sebab saya ada kawan macam awak..”. Perlahan Ikmal membalas. Sayu hati Husna mendengarnya. Ibu Ikmal telah meninggal dunia ketika dia berusia 15 tahun akibat kanser. Kerana itu, Ikmal sering bertekad untuk menjadi seorang doktor bagi membantu mereka yang senasib dengan arwah ibunya.
“Husna..saya sayangkan awak..”. Berderau darah Husna mendengar kata-kata terakhir daripada Ikmal. Apa maksud Ikmal? Sayang bagaimana yang Ikmal maksudkan? Dan, Husna masih kebingungan memikirkan apa yang telah diucapkan oleh Ikmal pada dirinya.
1 comment:
lame sngguh x bace layar..aku sgt2 suke..teruskn la cik farahi..!!
Post a Comment