Monday, October 18, 2010

Layar: Bab 4

BAB 4

Cuti persekolahan hampir tiba dan akhirnya saat yang dinanti muncul juga. Keputusan UPSR telah diumumkan pada hari tersebut. Seperti kebiasaannya, ramai ibu bapa yang menemankan anak-anak mereka untuk mengambil keputusan di sekolah masing-masing. Cikgu Hamzah telah berjanji pada Husna bahawa dia akan datang ke sekolah pada waktu tengah hari bagi sama-sama melihat keputusan anaknya. Cikgu Saadah pula tidak dapat menghadirkan diri kerana perlu menyertai kursus pada hari yang sama. Pelbagai ragam dan telatah dapat dilihat sebaik sahaja Cikgu Hamzah memasuki perkarangan sekolah rendah tersebut. Ada yang menjerit kegembiraan, tak kurang juga yang agak muram wajahnya.  
“Husna..! Husna..!”. Cikgu Hamzah memanggil apabila melihat kelibat anaknya dalam sekelompok budak perempuan yang berkumpul di hadapan bilik guru. Husna yang memegang kertas slip keputusannya berlari-lari anak ke arah Cikgu Hamzah. Riang benar hatinya saat itu. Hanya doa kesyukuran yang dipanjatkan buat Ilahi kerana telah memakbulkan doanya selama ini. Husna memeluk erat abahnya.
“Alhamdulillah abah..Husna berjaya..”. Diunjukkan kertas keputusan tersebut kepada abahnya. Senyuman lebar terukir di bibir Cikgu Hamzah tatkala melihat kertas itu. Dalam hatinya tidak putus-putus bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang cerdas dan pintar. Bagi seorang bapa sepertinya, hanya itulah hadiah terbaik yang ingin dia peroleh, melihat dan berkongsi kejayaan anak-anak. Setiap hari dia sentiasa berdoa agar anak-anaknya membesar dengan baik dan menjadi insan yang berguna buat untuk agama, bangsa dan masyarakat.  
“Tahniah sayang..abah bangga..”. Cikgu Hamzah mencium dahi anaknya. Itu adalah kebiasaan yang sering dilakukannya setiap kali anak-anaknya beroleh kejayaan dalam sesuatu perkara. Itu jugalah perkara yang Husna sukai tentang abahnya. Meskipun Cikgu Hamzah jarang sekali memberi hadiah buat mereka adik-beradik jika mendapat apa-apa kejayaan dalam pelajaran dan sebagainya, namun, bagi mereka, kasih sayang serta ciuman mesra itu merupakan hadiah yang tak ternilai harganya, dan melebihi segalanya.
“Ibu tengah kursus, kejap lagi abah telefon, beritahu ibu ya..”. Cikgu Hamzah memegang tangan anaknya erat dan mengajaknya duduk di sebuah bangku yang terdapat di kawasan berhampiran taman sekolah. Husna yang masih tersenyum gembira menuruti langkah abahnya.
“Husna, macam mana dengan tawaran sekolah tu? Husna mahu?” Cikgu Hamzah memulakan bicaranya. Dia mahukan yang terbaik buat anak bongsunya itu. Namun, sebagai seorang bapa, dia menghormati apa jua keputusan yang Husna ambil. Jika ibu bapa lain lebih senang menentukan sendiri masa depan anak-anak mereka, tetapi tidak bagi Cikgu Hamzah dan Cikgu Saadah. Pada mereka berdua, anak-anak juga punyai hak untuk menentukan apa yang mereka mahukan, malah mereka juga boleh memberi pendapat sendiri, asalkan ia tidak melampaui batas sebagai seorang anak. Husna diam membisu. Kepalanya masih berfikir-fikir. Dia sebenarnya masih tercari-cari jawapan bagi soalan yang ditanyakan oleh Cikgu Hamzah sebentar tadi. Tapi, rasanya dia sudah punya satu jawapan yang pasti saat itu.
“Husna tak mahulah abah..”. Perlahan sahaja Husna memberitahu. Matanya masih menatap wajah Cikgu Hamzah. Cuba mencari bagaimana reaksi bapanya itu. Namun, Cikgu Hamzah masih tenang-tenang saja. Cikgu Hamzah tahu, pasti ada sebab kenapa Husna berbuat demikian.
“Kenapa? Tak nak berpisah dengan abah dan ibu?”. Cikgu Hamzah cuba mengusik. Husna tersengih mendengar kata-kata abahnya. Sejujurnya, pada Husna, bukan itu alasan utama dia ingin menolak tawaran tersebut. Meskipun dia anak bongsu, dan manja dengan kedua-dua ibu dan abahnya, namun, itu bukan sebabnya.
“Husna nak masuk sekolah biasa sahaja abah..Husna mahu belajar dalam suasana yang biasa sahaja, tanpa ada pengawasan dari sesiapa. Cukuplah kalau abah dan ibu sahaja yang melihat apa yang Husna belajar setiap hari..”. Cikgu Hamzah tersenyum. Husna memang anak yang agak berbeza berbanding kakak dan abangnya. Kadangkala apa yang dibuatnya sukar ditelah oleh mereka. Husna yang degil dan keras hati, namun, sesekali amat sensitif.
“Kalau itu keputusan Husna, abah terima sahaja. Cuma, abah harap, walau di mana pun Husna bersekolah, apa yang penting, Husna kena terus berusaha untuk buat yang terbaik. Belajar di mana-mana pun sama saja Husna, yang penting, tekad dan usaha kita..”. Cikgu Hamzah menggosok lembut bahu anaknya. Husna lega kerana keputusannya diterima oleh Cikgu Hamzah dengan hati yang terbuka. Namun, Husna agak gusar dengan reaksi ibunya dan dia juga tidak pasti bagaimana penerimaan ibunya nanti terhadap keputusan tersebut. Husna tahu, ibunya berharap bahawa dia akan menerima tawaran tersebut.
“Abah rasa ibu akan marah Husna tak nanti?”. Wajah Husna bertukar muram seketika.
“Kenapa Husna fikir ibu akan marah? Sebab Husna tolak tawaran tu? Hanya sebab itu?” Cikgu Hamzah tergelak kecil. Pelik pula Husna melihat abahnya begitu.
“Husna..Husna..ibu Husna takkan marah lah nak..Lagipun Husna ada sebab tersendiri kan? Entah-entah ibu lagi suka kot, sebab nanti Husna boleh temankan dia bersembang malam-malam..hihihi..”. Cikgu Hamzah masih tergelak. Husna yang mendengarnya ikut tertawa bersama. Betul juga kata abah, barangkali ibu lagi gembira kerana dia tidak menerima tawaran tersebut.
“Husna, abah nak jumpa cikgu Husna kejap. Husna nak balik sekali dengan abah tak nanti?”. Cikgu Hamzah sudah bangun dari tempat duduknya. Husna berjalan menuruti langkah abahnya.
“Emm..tak apalah abah. Nanti Husna balik dengan Najah. Husna nak jumpa kawan-kawan kejap..”.
Sebaik sahaja Cikgu Hamzah memasuki ruang di bilik guru, Husna cuba mencari kelibat sahabatnya, Najah. ‘Ish..mana pulak si Najah ni. Takkan dah balik kot. Kan dah janji nak balik sama-sama..’. Matanya masih meliar di sekitar kawasan kelas, menjenguk kalau-kalau Najah ada di situ. Sebaik melihat tubuh kecil Najah yang sedang bersandar di tiang bendera sekolah mereka, Husna tersengih lebar.
“Najah..! Hei, Najah..!”. Husna melambaikan tangannya ke arah sahabat baiknya itu.
‘Kenapa pulak Najah nampak murung jer?’. Hati Husna mula tertanya apabila melihat wajah Najah yang agak mendung.
“Eh..kau pergi mana tadi? Ni, apahal pula kau mendung semacam jer? Tadi bukan main gembira lepas dapat keputusan..”. Husna teringat bagaimana gembiranya Najah apabila mengetahui namanya disenaraikan antara pelajar cemerlang di sekolah mereka. Terloncat-loncat Najah sehingga guru-guru mereka tergelak besar melihat gelagatnya. Dan sekarang, apabila melihat wajah Najah yang redup sebegitu, Husna pasti ada sesuatu yang telah berlaku. Najah masih membisu dan sesekali mengeluh kecil.
“Kenapa ni Najah? Alah, ceritalah kat aku. Kau kenapa?”. Husna yang masih belum berpuas hati terus-terusan bertanya. 
“Mak aku Husna..mak aku tak bagi aku masuk sekolah asrama penuh tu..”. Lambat-lambat Najah menjawab. Matanya mula berair. Najah ingin memasuki sekolah berasrama penuh itu, paling penting Najah tidak ingin berpisah dengan Husna, sahabat baiknya. Husna yang sedari tadi hanya mendengar tiba-tiba ketawa kecil.
“Baguslah kalau mak kau tak benarkan kau masuk sekolah tu..”, Husna masih ketawa. Najah merenung Husna tajam. ‘Apa hal dengan Husna ni? Mentang-mentanglah dia dapat masuk sekolah tu, dia nak tinggalkan aku kat sini..Sampai hati kau Husna..’. Mata Najah semakin basah, kecil hatinya melihat tingkah Husna yang begitu.
“Laa..kenapa kau menangis ni Najah? Okey, okey..aku minta maaf kalau aku gelakkan kau tadi..Najah, aku pun tak masuk sekolah tu jugak tau..”. Husna memeluk bahu sahabatnya. Hampir tidak percaya Najah mendengar kata-kata Husna. Bulat matanya memandang Husna. ‘Biar betul si Husna ni. Takkan abah dan ibunya tak benarkan dia masuk sekolah tu jugak..’ Najah mula kehairanan.
“Betul ke ni Husna?”. Najah masih berasa tidak percaya dengan kenyataan Husna.
“Kenapa? Tak percaya?” Husna tersengih. “Aku memang tak masuk sekolah tu lah Najah. Aku nak masuk sekolah biasa sahaja. Aku nak temankan kau kat sini..”, dengan bersahaja Husna menambah.
“Banyaklah kau Husna..hahaha..”. Wajah Najah kembali ceria. Dia tahu Husna tidak berbohong. Walau hatinya masih tertanya apakah sebabnya Husna menolak tawaran tersebut, namun, dia sangat gembira kerana tidak perlu berpisah dengan sahabatnya itu.
“Nanti kita pergi sekolah sama-sama lagi ek..”. Lega hati Husna melihat Najah sudah mula tersenyum.
“Husna..tahniah..”. Husna berpaling apabila mendengar suara seseorang dari arah belakangnya. Najah yang masih ketawa, terdiam seketika apabila melihat wajah Rayhan.
“Terima kasih..tahniah juga untuk awak..”, balas Husna, sedikit kekok kedengarannya. Husna sedikit serba salah, tidak tahu bagaimana hendak menyambung perbualan tersebut. Sejak dari peristiwa Rayhan meminta maaf dengannya, Husna seakan sukar untuk menjalin persahabatan dengannya.
“Emm..saya dengar awak dapat tawaran sekolah asrama penuh. Tahniah lagi sekali..”. Rayhan kelihatannya masih ingin meneruskan perbualan tersebut, walau Husna tampak seperti sudah tidak lagi berminat.
“Saya tak terima pun tawaran tu..Eh, awak, tak apalah. Saya dengan Najah dah nak balik ni. Nanti kalau ada masa, kita jumpa lagi. Selamat bercuti..”. Husna menarik tangan Najah dan terus beredar dari kawasan tersebut. Entah kenapa, Husna masih geram dengan tindakan Rayhan yang mengambil bukunya tempoh hari, walaupun dia sudah meminta maaf atas perkara tersebut. Dia cuma mahu cepat-cepat pergi dari situ, tanpa perlu melihat wajah Rayhan lagi. Dan Rayhan yang masih berdiri di situ saat Husna berlalu, terus memerhatikan setiap langkah Husna.

~ Akan bersambung lagik..hihihi..~

No comments: