BAB 5
Encik Yassin meraup wajahnya berkali-kali. Tidak tahu apa lagi yang perlu dikatakannya saat itu. Apa sahaja yang keluar dari mulutnya tika itu, umpama mencurah air ke daun keladi sahaja, langsung tidak berguna apa-apa. Dia sedar, walau apa jua penjelasan yang cuba diberikannya, segalanya sudah tidak bermakna lagi. Encik Yassin tahu, kesalahannya itu amat besar di mata isterinya, namun, dia punya alasannya yang tersendiri. Isterinya langsung tidak memberinya peluang untuk menerangkan keadaan dan sebab sebenar kenapa dia bertindak sebegitu.
“Jah..Jah, pandang abang. Abang minta maaf. Abang tahu, Jah tengah marah, sakit hati dengan abang sekarang ni. Tapi, abang mohon Jah, tolong dengar penjelasan abang dulu..”. Encik Yassin memegang tangan isterinya, berusaha untuk memujuk. Sebak hatinya melihat airmata yang tidak putus-putus mengalir di pipi isteri kesayangannya itu. ‘Ya Allah..aku telah melukakan hatinya. Dia isteri yang terbaik buatku, namun, aku punyai alasanku atas segalanya. Bantu aku Ya Allah, agar aku dapat melalui ujian-Mu ini..’ Encik Yassin berdoa dalam hatinya. Ini kesilapannya, itu sesuatu yang pasti. Tapi, walau dengan apa cara sekalipun, Encik Yassin tetap mahu membetulkan keadaan yang kusut ini.
“Saya tak sanggup nak dengar apa-apa lagi abang..Cukuplah tu. Semuanya dah sangat jelas sekarang..”. Isterinya masih tenggelam dalam esak tangis. Dia sudah tidak mahu mendengar walau sepatah pun perkataan yang keluar dari mulut suaminya. Dia tidak mahu dibohongi sekali lagi. Cukuplah, selama ini, dia fikir, dia telah melakukan segalanya demi suami yang tercinta. Dia sanggup berhenti kerja selepas anak sulung mereka dilahirkan, malah rela mengikuti suaminya berpindah walau di mana jua. Segalanya sia-sia sahaja, malah, balasan seperti ini pula yang diterimanya.
“Jah..abang tahu, walau sejuta kali pun abang meminta maaf, Jah tidak akan maafkan abang. Tapi, sekurang-kurangnya, bagilah abang kesempatan untuk memberi penjelasan. Ini demi cinta kita..”. Encik Yassin masih memegang erat tangan isterinya yang duduk di birai katil. Mujur anak-anaknya tiada di rumah ketika semua ini berlaku. Anak bongsunya pula masih nyenyak tidur di bilik ketika dia pulang ke rumah sebentar tadi. Encik Yassin tidak ingin anak-anaknya mengetahui tentang perkara ini. Walau dia tahu, lambat-laun segalanya pasti terbongkar jua, namun, dia tidak mahu anak-anaknya menganggap dirinya yang sebaliknya. Dia terlalu sayangkan keluarganya, lebih dari segalanya. Encik Yassin menatap wajah isterinya dengan pandangan yang berbaur. Isteri mana yang mampu menerima hakikat bahawa suaminya telah berkahwin lain! Dia sedar, malah jauh lebih mengerti tentang perasaan isterinya itu. Dia memang bersalah kerana telah menyembunyikan perkara yang sebenar daripada orang yang dikasihinya itu, namun, dia punya alasan dan sebab kenapa dia melakukan semua itu.
“Abang jangan cakap pasal cinta lagi..abang dah tipu saya, tipu anak-anak kita, dan sekarang abang cakap ini demi cinta?”. Puan Khadijah mengusap airmata yang masih jatuh di pipinya. Pedih hatinya tatkala mendengar suaminya menyebut perkataan cinta. Bagi dirinya, saat ini, cinta yang telah mereka bina selama hampir 14 tahun, semuanya telah berkecai. Sama seperti remuknya hati Puan Khadijah kala ini. Dia langsung tidak menyangka, kehadiran seorang wanita bersama seorang anak kecil di hadapan rumahnya awal pagi tadi, akan mengubah segalanya. Mengubah hidupnya dan sekaligus mengubah masa depan perkahwinannya.
“Abang sentiasa cintakan Jah..itu tak pernah berubah. Abang tahu, sekarang ini, perasaan Jah tengah terluka, hati Jah terlalu sedih. Abang faham, cuma abang harap, selepas ini Jah akan beri abang peluang untuk menerangkan segalanya,” Encik Yassin cuba meminta pengertian daripada Puan Khadijah. Isterinya diam membisu, walau tangisannya masih bersisa.
“Dia perlukan perlindungan..dan..”.
“Dan abang berikan perlindungan itu dengan mengahwininya? Begitu?”. Belum pun sempat Encik Yassin menghabiskan kata-katanya, Puan Khadijah memintasnya. Encik Yassin mengeluh perlahan. Puan Khadijah mengalihkan pandangannya ke luar tingkap. Sayu hatinya dengan sikap suami yang amat dihormatinya selama ini. Dia tidak pernah rasa semarah ini. Sekalipun, banyak cerita yang pernah didengarnya dari sahabat-sahabat yang mengenali suaminya, namun, Puan Khadijah selalu menganggap bahawa semua itu sekadar cerita biasa yang langsung tidak menggugat hubungan mereka suami isteri. Namun, peristiwa pagi tadi telah mengubah segalanya. Berkali-kali dia cuba menenangkan dirinya sendiri, namun, hakikatnya, dia hanya seorang wanita biasa. Yang punya perasaan, yang punya hati.
“Abang minta maaf..”. Entah berapa kali Encik Yassin mengungkapkan kata maaf itu, namun dia tahu isterinya tidak mungkin akan memberikannya peluang untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.
“Abang..cukuplah tu. Abang buatlah keputusan yang sebaiknya sekarang..” Puan Khadijah sudah bangun dan meleraikan genggaman tangan suaminya. Puan Khadijah tahu, dia harus menentukan arah tuju hidupnya sekarang ini. Dia sudah tidak sanggup untuk menghadapi semua ini lagi. Paling utama, dia tidak sanggup untuk hidup bermadu!
Encik Yassin terpana seketika. Apa maksud kata-kata isterinya itu? Keputusan apa yang perlu diambilnya saat itu? Encik Yassin tidak ingin kehilangan keluarganya ini. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupannya nanti tanpa isteri tercinta serta anak-anak yang telah menyerikan kehidupannya selama ini.
“Apa maksud Jah? Abang tak faham..”. Encik Yassin turut bangun dan merapati isterinya.
“Tiada isteri yang sanggup dimadukan, abang..Begitu juga dengan saya. Saya cuma seorang wanita biasa, dan saya tak sanggup untuk hidup begini..”. Puan Khadijah menarik nafasnya dalam-dalam. Dia perlu berani dan tabah untuk menghadapi segala kemungkinan yang tiba. Kalau ini kesudahan yang perlu dihadapi dalam rumahtangganya, dia redha. Apa pun yang akan berlaku, Puan Khadijah akan menghadapinya dengan hati yang lapang.
“Abang..lepaskan saya..”. Sejurus itu juga, airmatanya seperti tidak tertahan lagi. Titisan jernih itu mengalir deras di pipinya, dan hatinya juga menangis saat itu. Encik Yassin terpinga-pinga mendengar ayat terakhir yang keluar dari mulut isterinya itu. Dia sama sekali tidak menyangka isterinya akan mengambil keputusan sebegitu.
“Jah cakap apa ni? Tidak Jah..tidak..abang tak mungkin akan buat macam tu. Abang cintakan Jah, abang sayangkan anak-anak kita. Abang tak sanggup kehilangan keluarga kita..”. Encik Yassin masih tidak percaya dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Hampir luruh jantungnya apabila isterinya menyebut perkataan itu. Dia memang bersalah, dia mengerti, namun, Encik Yassin tidak akan sesekali melepaskan Puan Khadijah, itu sesuatu yang pasti.
“Abang..saya mohon pada abang. Mungkin..mungkin ini adalah jalan yang terbaik buat kita berdua. Abang tak perlu buat apa-apa pilihan lagi. Biarlah saya yang mengundur diri..”. Dengan nada yang masih tersekat-sekat, Puan Khadijah cuba menyusun kata. Jiwanya bagai sudah kering, hatinya remuk dan dia pasti, inilah jalan keluar buat mereka berdua. Dia sudah nekad. Dia tidak ingin lagi meneruskan hubungan yang begini. Dia tidak ingin lagi menjeruk rasa. Paling utama, dia tidak ingin melukakan hati sesiapa, dan serasanya, biarlah dia sahaja yang menarik diri. Encik Yassin menekup wajahnya perlahan. Kali ini, giliran airmatanya pula yang menitis laju. Rawan hatinya mendengar setiap patah bicara Puan Khadijah. Isterinya sudah terlalu dalam lukanya. Dan, ini semua gara-gara dirinya.
“Tidak Jah..tidak..Tolong, jangan minta abang lakukannya. Hanya Jah seorang yang abang cintai, tolonglah Jah..”. Separuh merayu Encik Yassin. Dia benar-benar tidak rela untuk menghadapi kehilangan Puan Khadijah. Melihat wajah isterinya yang sudah kembali tenang, Encik Yassin tahu, bahawa Puan Khadijah sudah bulat dengan keputusannya. Tiada apa lagi yang mampu dilakukannya saat itu dan tiada lagi kata-kata yang mampu melembutkan hati Puan Khadijah.
‘Ya Allah..berat sekali ujian-Mu pada kami. Ampunkan aku Ya Allah kerana telah melukai hati insan sebaik isteriku ini..’. Encik Yassin mengesat airmata yang jatuh di pipinya. Puan Khadijah lantas membuka almari pakaian dan mengeluarkan sebuah beg. Tiada apa lagi yang tinggal buat dirinya di rumah itu. Apa yang bermain di fikirannya saat itu hanyalah anak-anaknya. Anak-anak yang akan menjadi penawar kepada segalanya. Puan Khadijah sebak apabila mengenangkan anak-anaknya yang masih terlalu mentah untuk memahami segala kekusutan ini. Dia hanya mampu berdoa agar diberi kekuatan dan ketabahan untuk menjelaskan keadaan ini di hadapan anak-anaknya.
“Jah nak ke mana?”. Encik Yassin tergamam apabila melihat isterinya mengemaskan pakaian dan mengambil barang-barang kepunyaannya.
“Saya minta maaf abang..izinkan saya untuk keluar dari rumah ni. Halalkan makan minum saya bang..”. Puan Khadijah menjinjing bagasinya lalu berlalu keluar daripada bilik mereka. Encik Yassin cuba untuk mengejar dan menghalang isterinya, tetapi segalanya tampak sia-sia belaka. Puan Khadijah benar-benar tekad dengan keputusannya. Puan Khadijah telah pergi dari kehidupannya, buat selamanya. Dan, Encik Yassin akhirnya terduduk bersama tangisan yang makin lebat.
2 comments:
chak..ha ha..sedih pula baca kisah Hatiku tu..memang kadangkala kita ingat kita rindukan seseorang, sama macam dia rindukan dia tapi kecewakan..bila penerimaan dia sebaliknya..
huhuhu..terkezut saya tgk akak komen..hikhik..adehlah..skadar mngisi masa lapang jer ni kak..hihi.. kdg2 tak smpat update pun..tp, sbb akak ader baca, kna lah update nih..hihihi..
Post a Comment